Yayasan Media Malaysia (myMedia) turut berkongsi kesedihan yang mendalam bersama-sama seluruh rakyat Malaysia berhubung kehilangan pesawat Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal dalam perjalanan ke Beijing Sabtu lalu.
2. Ini adalah satu tragedi negara yang mengimbau kembali kepada tragedi ngeri terhempasnya pesawat MH653 kepunyaan MAS akibat perampasan di Tanjung Kupang, Johor pada 4 Disember 1977.
3. myMedia memuji kesungguhan pihak kerajaan dan juga kakitangan MAS dan juga agensi-agensi kerajaan lain yang kini bertungkus lumus 24 jam dalam usaha mencari dan menyelamat pesawat yang hilang tersebut di Laut China Selatan.
4. Tidak lupa juga myMedia mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Vietnam, China, Amerika Syarikat dan juga Singapura serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta seluruh masyarakat antarabangsa yang turut membantu Malaysia dalam saat negara menghadapi bencana yang tidak diduga ini.
5. Tragedi ini menyentuh perasaan dan sanubari seluruh rakyat Malaysia bukan sahaja kepada keluarga mangsa yang hilang.
6. Dalam hal ini myMedia memuji peranan media di negara ini yang menunjukkan sikap prihatin dan simpatis yang tinggi terhadap keadaan yang berlaku dengan memberi maklumat terkini kepada rakyat mengenai usaha mencari dan menyelamat.
7. Bagaimanapun myMedia kesal dengan sikap tidak prihatin yang dipamerkan oleh sesetengah rakyat negara ini dengan menggunakan saluran media baru seperti twitter dan facebook untuk mengeluarkan kenyataan yang mengguris hati keluarga mangsa tragedi ini.
8. Ini termasuk komen-komen negatif dan tidak sensitif oleh sesetengah individu dari kalangan arena politik dan juga NGO serta portal-portal berita yang seolah-olah mengganggap apa yang hanyalah perkara enteng lantas membukikan tahap kualiti rendah pemikiran mereka.
9. Ketika negara berhadapan dengan krisis peranan media bukan untuk menuding jari dan mencari kesalahan tetapi sebaliknya berfungsi untuk menyatu serta menenangkan pemikiran rakyat dari segenap lapisan masyarakat; bukannya terus berpolitik kepartian dan mengapi-apikan perasaan rakyat yang kini diselubungi perasaan sedih dan pilu.
10. Jadikanlah landasan media sebagai alat dan perantaraan untuk mengukuhkan perpaduan dan semangat cintakan negara dan juga membina semangat muhibbah di antara semua rakyat Malaysia.
11. Janganlah jadikan alat media dalam apa jua bentuk untuk menyebar pemikiran negatif dan songsang yang langsung tidak menyumbang kepada kesejahteraan Malaysia yang kita cintai malah memberi impak yang tidak baik kepada imej negara.
12. Sebagai rakyat Malaysia yang patriotik dan sayangkan negara, marilah kita berganding bahu memperkukuhkan peranan media dalam pembangunan negara dengan menolak segala unsur yang boleh merosakkan perpaduan rakyat.
DZULKARNAIN TAIB
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif
0 comments:
Post a Comment