SEPANG – Ketika anggota pasukan mencari dan menyelamat meningkatkan usaha mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang dilapor hilang di Laut China Selatan awal pagi semalam, beberapa penumpang menyuarakan keyakinan terhadap keselamatan penerbangan MAS.
Warga United Kingdom, Michael Lovas, 26 yang ditemui Bernama di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) di sini, berkata beliau kekal yakin dengan prestasi MAS dari segi keselamatan.
“Di sebalik apa yang berlaku, saya tetap mahu menggunakan MAS pada masa depan kerana syarikat ini mempunyai rekod keselamatan yang cemerlang,” katanya yang mahu ke Kota Kinabalu dan kali pertama menggunakan perkhidmatan MAS.
Katanya prestasi baik MAS itu diiktiraf oleh penganalisis syarikat penerbangan menerusi laporan mereka.
“Syarikat ini mencatat prestasi baik pada masa lalu dan juga sekarang. Apa yang berlaku ini amat malang,” katanya.
Pesawat yang mengendalikan penerbangan MH370 membawa 227 penumpang termasuk dua bayi selain 12 anak kapal, dilapor hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada awal pagi Sabtu.
Penerbangan itu yang berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi dilapor hilang dari radar kira-kira sejam kemudian. Pesawat tersebut dijadual mendarat di Beijing pada 6.30 pagi.
Pesawat Boeing 777-200 itu yang menggunakan dua enjin Rolls-Royce Trent 800 diiktiraf sebagai antara pesawat pengangkut perkhidmatan penuh paling baik di Asia Pasifik dari segi keselamatan dan perkhidmatan.
Perunding teknologi Jack Westman berkata sekalipun ramai yang mengkritik syarikat penerbangan negara itu ketika ini, beliau percaya penerbangan MAS masih selamat.
“Saya fikir dalam konteks pengangkutan udara, dalam kes ini MAS masih kekal secara statistik sebagai penerbangan paling selamat diguna untuk perjalanan antarabangsa.
“Malah, kadar nahas udara jauh lebih rendah berbanding jalan raya dan kereta api. Justeru saya tidak terlalu bimbang,” katanya menambah nahas MAS paling buruk yang terakhir berlaku lebih 20 tahun lalu.
Pemuda berusia 24 tahun dari London itu barangkali merujuk kepada kejadiaan pesawat Fokker 50 yang terhempas di Tawau, Sabah pada 15 Sept 1995 dan mengorbankan 34 nyawa. Sebelum itu pada 1977, pesawat Boeing 737-200 terhempas di Tanjung Kupang, Johor dan mengorbankan kesemua 100 orang di dalamnya.
Sementara itu, pensyarah Universiti Tun Razak dari United Kingdom, Andreas Andreou, 38 yang secara purata terbang lima kali setahun, sering menggunakan penerbangan MAS.
“Kejadian ini tidak menjejaskan persepsi saya terhadap MAS kerana saya tidak mengukur satu insiden sebagai gambaran keseluruhan. Saya akan terus menyokong dan menggunakan penerbangan MAS,” katanya.
Dalam pada itu, Kazi Anisuddin Iqbal, 54, pengeluar perabot dari Bangladesh yang baharu sahaja selesai menyertai Pameran Perabot Antarabangsa 2014 di Kuala Lumpur, berkata keyakinannya terhadap MAS tergugat sedikit susulan kejadian, namun mengakui insiden berkenaan boleh berlaku kepada mana-mana syarikat penerbangan.
MAS mempunyai 88 pesawat termasuk Airbus A330 dan A380 serta Boeing 777-200 dan 737. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment