KUALA TERENGGANU – Hari ini pastinya merupakan hari paling bersejarah bagi pelumba Tabriz Petrochemical Team, Mirsamad Porseyedigolakhour, apabila diumumkan sebagai penunggang Asia pertama yang menjuarai keseluruhan edisi ke-19 Le Tour de Langkawi (LTdL).
Pelumba Iran ini muncul sebagai juara keseluruhan bagi klasifikasi umum individu dengan jumlah masa terkumpul 35 jam, 7 minit dan 16 saat bagi 10 hari perlumbaan.
Juara Tour of Qinghai Lake tahun ini juga memenangi jersi putih sebagai pelumba terbaik Asia, manakala pasukannya menduduki tangga teratas ‘leader board’ sebagai pasukan terbaik Asia dengan jumlah masa terkumpul 105’26:13.
“Saya sungguh gembira kerana menjadi juara Le Tour de Langkawi 2014. Ia juga sesuatu yang amat menarik kerana saya merupakan pelumba Asia pertama menjuarainya dan rakyat Iran pertama memenanginya selepas 19 tahun.
“Selepas menjuarai peringkat Genting Highlands, saya menghadapi laluan yang agak sukar, tapi gembira kerana terus menyimpan jersi kuning. Terima kasih kepada pasukan saya Tabriz Petrochemical kerana membantu saya mempertahankan jersi itu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Pourseyedigolakhour meraih gelaran juara setelah memenangi peringkat Genting Highlands yang sungguh mencabar – dikenali sebagai ‘tour’s queen stage’ – dengan
mengatasi pelumba lebih berpengalaman Ahad lepas.
Peringkat akhir LTdL 2014 dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu menyaksikan pelumba Itali Andrea Guardini mencatat kemenangan kali ke-14 untuk dirinya setelah menguasai perlumbaan sejauh 103.1km hari ini dengan masa 2 jam, 15 minit dan 55 saat.
Guardini berjaya memotong pelumba Lithuania Aidis Kruopis daripada pasukan Orica Greenedge dan pelumba Itali Francesco Chicchi daripada pasukan Yellow Fluo di garisan penamat.
“Saya amat gembira kerana memenangi peringkat terakhir hari ini. Prestasi saya pada tahun ini lebih baik daripada tahun lepas kerana tidak sihat ketika berlumba dalam dua peringkat terakhir,” katanya.
Dalam pertandingan pecut, Kruopis memenangi jersi biru setelah mengumpul 98 mata, manakala jersi merah menjadi milik pelumba Ireland Matt Brammeier daripada pasukan Synergy Baku Cycling Project yang menjuarai pertandingan mendaki bukit dengan memperoleh 34 mata.
Sementara itu, Mohammed Adiq Husainie Othman daripada Terengganu Cycling Team (TSG) muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia, anugerah yang ditaja Telekom Malaysia (TM), manakala dua rakan sepasukannya Anuar Manan dan Mohd Saiful Anuar Aziz masing-masing diisytiharkan sebagai pelumba pecut terbaik dan pelumba mendaki bukit terbaik.
“Syukur sebab boleh berada dalam top 30, saya dapat nombor 29 dan nombor enam Asia. Kalau kita hendak tengok saingan, memang agak banyak sebab saingan dari Pro Team.
“Saya gembira dengan ‘performance’ saya. Bagi diri saya, saya rasa puas hati, tapi dengan team boleh dapat ‘top ten’ bermakna kita boleh bersaing dengan pasukan pro team ini,” kata Mohammed Adiq yang pernah mewakili pasukan Champion System pada edisi lepas.
Sementara itu, jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia, Aminuddin Sulaiman menyuarakan perasaannya yang agak kecewa kerana pasukan Malaysia gagal mencapai sasaran tempat ketiga terbaik Asia.
Bagaimanapun, beliau memuji barisan pelumba yang terdiri daripada pelumba berpengalaman dan dua pelumba baharu, yang menunjukkan peningkatan dan kayuhan baik hingga mencapai keputusan yang boleh dibanggakan.
“Saya puas hati dengan pencapaian, terutama untuk 15 pasukan terbaik keseluruhan, cumanya, untuk tempat ketiga terbaik keseluruhan Asia, tidak berjaya, sebab kita tercicir semasa peringkat pertama lagi.
“Bagaimanapun, pelumba-pelumba berani membuat percubaan pada setiap stage dan berada dalam top 20 setiap hari. Memang tahun ini persaingan agak sengit, top sprinter pun susah untuk mencapai keputusan yang baik pada edisi kali ini,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pelumba muda Abdul Rashid Ibrahim yang semakin meningkat dan berharap pelumba itu akan memperbaiki pencapaiannya pada masa akan datang.
Malaysia menamatkan 10 peringkat edisi ke-19 di tempat ke-15 keseluruhan dan keempat terbaik Asia dengan masa terkumpul 106’00:00. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment