Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, August 13, 2014

No Comment

BUKIT MERTAJAM – “Kami tidak berapa sihat dan telah tua untuk menempuh perjalanan yang jauh,” kata Jagjit Kaur, ibu kepada Sanjid Singh Sandhu, pramugara pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terhempas di timur Ukraine bulan lepas.

Jagjit, 73, berkata beliau dan suami Jijar Singh, 71, serta keluarga telah memutuskan bahawa isteri (Tan Bee Geok) dan kakak Sanjid Singh yang akan ke Amsterdam untuk mengetahui perkembangan lanjut mengenai urusan pengesahan mayat mangsa nahas pesawat itu.

“Saya dan suami akan menunggu di sini. Setakat ini belum tahu bila mereka akan pergi kerana kami tidak menerima maklumat lagi.

“Selalunya pihak MAS akan memaklumkan perkembangan kepada isteri Sanjid yang juga pramugari syarikat penerbangan itu,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Taman Selamat, di sini hari ini.

Sanjid Singh adalah antara 15 anak kapal pesawat penerbangan MH17 yang membawa 280 penumpang ketika terhempas di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Pesawat yang dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu dipercayai ditembak jatuh, namun sehingga kini belum ada pihak mengaku bertanggungjawab.

Jagjit berkata setakat ini mereka juga tidak dimaklumkan sama ada mayat Sanjid Singh telah dikenal pasti atau sebaliknya tetapi difahamkan beberapa barangan peribadi miliknya telah ditemui.

“Kami memang tidak mendapat sebarang maklumat mengenai Sanjid dan saya percaya isterinya juga sama (tidak mendapat maklumat),” katanya.

Beliau juga berharap segala urusan berhubung mayat anaknya itu berjalan lancar dan menambah, mereka sekeluarga telah mengadakan beberapa upacara keagamaan termasuk sembahyang untuk kesejahteraan Sanjid.

“Saya sebagai ibu kepada Sanjid percaya dia tenang di sana dan kami berharap semuanya berjalan lancar,” katanya yang enggan memberitahu di mana upacara pengebumian anak bongsu daripada dua beradik itu akan diadakan.

Jagjid juga berharap pihak media tidak mengganggu mereka sekeluarga dan memahami situasi ketika ini yang masih bersedih dengan kejadian yang menimpa anak lelaki mereka itu.

Sanjid bertugas dengan MAS sejak 19 tahun lepas, menetap di Selangor dan mempunyai seorang anak lelaki Hans Singh Sandhu berusia 10 tahun. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment