Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Tuesday, August 12, 2014

No Comment

GEORGETOWN – Polis percaya sekumpulan lelaki Myanmar yang disyaki terlibat dalam kejadian menculik dan membunuh rakyat Bangladesh masih bersembunyi di sekitar negeri ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata kumpulan yang dipercayai dianggotai enam lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu adalah pendatang tanpa izin.

Sabtu lepas pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh yang mendakwa dia dan rakannya diculik sekumpulan lelaki Myanmar pada Khamis dan diminta wang tebusan RM200,000 daripada rakan-rakan dua rakyat Bangladesh itu.

Seorang daripada mangsa culik tersebut kemudiannya ditemui mati di Bukit Gambir. Mayat lelaki berusia 39 tahun itu ditemui pada Ahad dalam keadaan bogel dengan mukanya ditutup dengan baju serta terdapat kesan jerutan di leher.

Mior Faridalathrash berkata lelaki Bangladesh yang berjaya melarikan diri daripada kumpulan penculik terbabit mendakwa dia dan rakannya dibawa oleh empat lelaki ke kawasan bukit manakala dua lagi menunggu di situ sebelum mereka diikat.

“Mangsa yang bekerja sebagai buruh binaan itu turut memaklumkan enam lelaki terbabit bercakap dalam bahasa Myanmar dan dia tidak mengenali atau pernah berjumpa dengan mereka sebelum ini,” kata Mior Faridalathrash kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis akan mengedar lakaran wajah enam lelaki Myanmar itu dalam tempoh terdekat untuk meminta orang ramai membantu mengesan mereka.

“Mangsa yang berusia 33 tahun itu membantu polis untuk membuat lakaran wajah enam lelaki terbabit. Polis juga menjalankan siasatan dari pelbagai sudut dan usaha mengesan enam lelaki itu giat dijalankan,” katanya.

Beliau meminta orang ramai agar tidak memberi perlindungan atau membantu kumpulan lelaki Myanmar terbabit dan mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment