Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, August 8, 2014

No Comment

PUTRAJAYA – Pengurusan kes bagi rayuan sabitan liwat Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual semula ke Khamis depan (14 Ogos) susulan bantahan oleh peguam belanya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menetapkan tarikh pendengaran pada bulan depan.

Seorang daripada peguam yang mewakili Anwar, R. Sivarasa memberitahu pemberita, pengurusan kes yang biasanya dilakukan di dalam kamar di hadapan timbalan pendaftar mahkamah, akan diadakan di mahkamah terbuka pada hari berkenaan dan dikendalikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif.

“Semasa pengurusan kes berlangsung di hadapan Timbalan Pendaftar Mohd Izzudin Mohamad, kami diberitahu bahawa keputusan mahkamah sebelum itu yang menetapkan 8 dan 9 Sept bagi pendengaran rayuan Anwar telah dibatalkan,” kata Sivarasa.

Pada 10.15 pagi ini, barisan peguam bela Anwar iaitu Sangeet Kaur Deo, N. Surendran dan Latheefa Koya serta Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria masuk ke dalam kamar bagi pengurusan kes rayuan itu di hadapan Mohd Izzudin.

Selepas pengurusan kes itu, Surendran memberitahu pemberita bahawa Mahkamah Persekutuan menetapkan 8 dan 9 Sept bagi pendengaran rayuan Anwar tetapi dibantah peguam bela Anwar kerana peguam utama Datuk Sulaiman Abdullah tidak dapat hadir pada tarikh berkenaan.

Katanya Sulaiman – yang mengalami masalah jantung dan menjalani pembedahan lutut – sedang cuti sakit hingga 13 Okt, tahun ini dan menurutnya Sulaiman dilantik sebagai peguam utama selepas kematian mengejut Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya.

Surendran berkata tarikh 8 dan 9 Sept itu diumumkan hari ini oleh timbalan pendaftar, dan mendakwa ia dilihat seolah-olah satu cubaan untuk menyegerakan rayuan itu.

Peguam Anwar kemudian meminta untuk berjumpa dengan hakim yang mengendalikan pendengaran rayuan itu pada tengah hari untuk menyelesaikan perkara itu dan pada kira-kira 12.30 tengah hari, pihak terbabit dalam rayuan itu dipanggil masuk ke dalam kamar.

Kali ini, Sivarasa, yang tidak hadir waktu pengurusan kes sebelum itu kerana terbabit dalam kes lain di Mahkamah Rayuan, turut masuk ke dalam kamar bersama-sama peguam bela Anwar yang lain.

Beberapa minit kemudian, Sivarasa memberitahu wakil media bahawa pengurusan kes disambung semula di hadapan Mohd Izzudin dan mereka diberitahu pengurusan kes dijadualkan semula ke Khamis depan.

Pada 7 Mac tahun ini, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pihak pendakwa raya untuk mensabitkan Anwar atas pertuduhan meliwat.

Mahkamah itu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Jan, 2012 yang melepaskan Anwar daripada pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful
Bukhari Azlan 26, di unit kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Balia Yusof Wahi menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar tetapi membenarkan penangguhan hukuman penjara itu sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Ketua pembangkang itu dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Anwar memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan manakala pihak pendakwa raya mengemukakan rayuan balas untuk menambah tempoh hukuman penjara ke atas Anwar.

Anwar juga mempunyai satu lagi rayuan sedang menunggu untuk didengar di Mahkamah Persekutuan iaitu berhubung cubaan ketiganya untuk melucutkan kelayakan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya utama. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment