Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, August 8, 2014

No Comment

PORT DICKSON – Sekumpulan perompak yang memecah masuk pejabat pembekal minyak dan gas di sini, berputih mata apabila gagal melarikan sebuah peti besi, walaupun berjaya mematikan sistem penggera dan memanipulasi kawalan kamera litar tertutup (CCTV).

Penjenayah bersenjatakan parang dan lengkap memakai topeng muka itu turut menggunakan walkie-talkie sebagai alat komunikasi antara satu sama lain.

Bagaimanapun, penjenayah terbabit bengang apabila setiap 30 minit, ada saja pemandu lori yang datang ke premis berkenaan, sekali gus mengganggu fokus mereka.

Pengarah Syarikat Bunga Raya, Tee Chu Kuan berkata, kejadian berlaku kira-kira 2.05 pagi itu menyasarkan sebuah peti besi yang diletakkan di sudut tepi ruangan pejabat.

“Penjenayah berjaya merampas sistem kawalan penggera dan CCTV daripada pengawal keselamatan sebelum mereka terus bertindak mengikat serta memukul mereka termasuk tiga pemandu lori.

"Bagaimanapun, premis ini dilengkapi sistem penggera dan sebanyak 40 CCTV yang boleh dipantau melalui telefon pintar saya,” katanya.

Menurutnya, penjenayah gagal melarikan peti besi berkenaan walaupun mereka berjaya menumbangkan dinding kadbod dari ruang pejabat.

“Saya tidak menyimpan wang tunai atau barang berharga lain, kecuali dokumen penting syarikat sahaja.

“Penjenayah juga didapati menggeledah semua laci dan almari di pejabat. Bagaimanapun, kami tidak menyimpan wang tunai di pejabat. Yang ada hanya fail dan dokumen sahaja,” katanya.

Chu Kuan berkata, dia juga percaya akibat tidak berpuas hati kerana tidak menemui barang berharga, penjenayah bertindak memecahkan televisyen dan cermin tingkap termasuk merosakkan sistem server syarikat.

Menurutnya, ini kali ketiga premisnya dipecah masuk.

“Kejadian kali ini boleh disifatkan yang paling buruk kerana mereka berjaya mematikan alat penggera dan kerugian mencecah hampir RM20,000 kos kerosakan yang dialami,” katanya.

Pengawal keselamatan diserang, diikat

Sementara itu, pengawal keselamatan, Mohan, 24, berkata, dia diserang dan diikat dua penjenayah terbabit.

“Seperti biasa, saya akan bertugas bersama seorang rakan. Ketika kejadian, saya menunggu di pondok kawalan sementara seorang lagi rakan membuat rondaan.

“Secara tiba-tiba saya didatangi dua lelaki dan terus memukul serta mengikat kaki serta tangan. Mereka bertanya berapa orang yang berkawal sebelum mereka merampas sistem kawalan penggera dan CCTV,” katanya.

Mohan berkata, selepas dia diikat, tidak lama kemudian ada seorang pemandu lori datang dan pemandu lori itu turut mengalami nasib yang sama apabila dipukul dan diikat.

“Kira-kira setengah jam kemudian datang lagi seorang pemandu lori tetapi nasibnya agak malang apabila dia diserang dengan parang selepas dia cuba melawan.

“Kami semua diikat dan dikumpulkan di belakang pondok kawalan. Kira-kira 3.30 pagi, kami dibawa ke bahagian belakang premis dan dikumpulkan di sana. Ketika itu, rakan saya yang juga pengawal keselamatan sudah diikat kaki dan tangan serta mulutnya juga ditampal pita pelekat.

“Kami tidak boleh berbuat apa-apa sehinggalah setengah jam kemudian, kira-kira jam 4.15 pagi salah seorang dari kami berjaya membuka ikatan di kaki," katanya yang baru dua bulan bekerja di situ.

Mohan berkata, sekurang-kurangnya tujuh hingga lapan lelaki yang melakukan jenayah berkenaan.

Difahamkan, penjenayah terbabit berjaya melarikan sebuah kereta jenis Hyundai Matrik milik salah seorang pemandu lori yang diikat.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Abd Wahab Harun berkata, polis sedang mengumpul maklumat untuk mengesan suspek yang dipercayai rakyat tempatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

"Kita mohon orang ramai yang ternampak mana-mana individu mencurigakan supaya segera memaklumkan di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di talian 06-6462999," katanya.

Beliau berkata, suspek dipercayai turut melakukan rompakan di dua buah rumah di Taman Tun Sambathan, sejurus selepas kejadian itu. - Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment