Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Friday, August 15, 2014

No Comment

NANJING – Keadaan cuaca tidak menentu dengan hujan dan tiupan angin di Lapangan Memanah Fangshan menimbulkan kerisauan skuad memanah negara yang akan memulakan aksi awal temasya Sukan Olimpik Remaja (YOG 2014) pada 22 Ogos ini.

Jurulatih skuad memanah pelapis negara, Wan Mohd Khalmizan Wan Aziz berkata hujan dan keadaan angin yang tidak menentu pasti akan memberi cabaran hebat kepada pemanah negara kerana ketepatan dalam melakukan pemanahan bergantung dengan keadaan cuaca dan juga tiupan angin pada hari kejohanan nanti.

“Cuaca dan keadaan angin adalah satu daripada faktor yang menentukan ketepatan dalam melakukan pemanahan namun kejayaan dalam pertandingan bergantung kepada kemahiran dan penguasan teknik bagi seseorang pemanah.

“Bagaimanapun kita mempunyai perancangan tersendiri dan bersedia untuk menghadapi kemungkinan itu,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Bekas pemanah kebangsaan itu berkata beliau yakin bahawa anak didiknya Mohamad Zarif Shahiir Zolkifli bijak membuat keputusan apabila turun beraksi nanti.

Wan Mohd Khalmizan berkata untuk layak ke pusingan berikutnya, Mohamad Zarif perlu mengatasi pemanah dari negara Korea Selatan dan Taiwan yang sudah pasti akan memberi cabaran hebat kepada pemanah negara sejak dari awal pertandingan.

Sementara itu, wakil tunggal negara dalam acara memanah, Mohamad Zarif berkata beliau turut risau dengan keadaan cuaca di Nanjing yang sedikit sebanyak akan mempengaruhi ketepatan dalam melakukan pemanahan pada hari kejohanan nanti.

“Saya akan cuba melakukan panahan terbaik pada Jumaat nanti bagi memastikan layak ke pusingan berikutnya dan sasaran peribadi saya adalah sekurang-kurangnya layak ke pusingan suku akhir,” katanya.

Mohamad Zarif, 16, berkata beliau mengakui agak takut kerana menjadi peserta tunggal negara bagi acara memanah namun ia bukan alasan bagi beliau untuk mengalah sebelum kejohanan bermula.

“Saya tidak berani untuk meletakkan sasaran pingat namun akan cuba yang terbaik bagi layak masuk ke perlawanan pusingan suku akhir nanti,” katanya.

Pemanah kelahiran Terengganu itu layak ke YOG 2014 setelah berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan pemanah terbaik di Kejohanan Memanah Dunia Remaja 2014 di Wuxi, China pada Oktober tahun lepas.

Selain sukan memanah, Malaysia turut mengambil bahagian dalam acara akuatik (renang dan terjun), badminton, gimnastik (artistik dan gimrama), golf, olahraga, menembak, pelayaran, taekwondo, dan ekuestrian. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment