Pengunjung Muzium Negara, Tee Yan Ven, 27, menggunakan telefon pintarnya untuk mengimbas kod pada artifak yang dipamerkan di muzium itu dalam pameran sempena Hari Merdeka, tahun ini.
SIAPA boleh hidup tanpa teknologi di saat dunia memasuki lembaran baru 2014? Teknologi kini menjadi sebahagian daripada kehidupan, bukan lagi satu kemahuan tetapi keperluan.
Hari ini, telefon pintar mengubah sama sekali corak kehidupan manusia, menghubungkan setiap individu dengan seluruh dunia di mana
sahaja mereka berada.
Kajian terbaru Ericsson ConsumerLab melibatkan 100,000 pengguna di 40 negara menunjukkan trend dijangka dapat dilihat dalam industri teknologi bagi tahun ini. Presiden Ericsson Malaysia dan Sri Lanka Todd Ashton berkata, teknologi terus mengubah cara hidup masyarakat dan cara individu berinteraksi antara satu sama lain.
"Seperti dilaporkan dalam Laporan Mobiliti, bulan lalu, kini terdapat 6.7 bilion langganan bagi peranti bimbit di peringkat global, dan ini akan terus meningkat. Dengan pertumbuhan perkhidmatan Internet 4G LTE dan infrastruktur di negara ini, kami menjangkakan telefon pintar akan terus mendominasi sebagai peranti pilihan pengguna untuk penggunaan Internet.
"Ini akan membantu mengurangkan jurang digital dan membolehkan akses lebih baik kepada aplikasi dan perkhidmatan lain yang menjadikan
kehidupan moden lebih terurus dan mudah," katanya.
1. Aplikasi ubah masyarakat
Penggunaan telefon pintar yang meningkat begitu cepat di seluruh dunia sama sekali mengubah cara kita berkomunikasi dan menggunakan Internet. Kini, kita memasuki fasa baru iaitu kepelbagaian penggunaan telefon pintar, dan pengguna mahukan banyak aplikasi bagi semua sektor dalam kehidupan. Ini termasuklah daripada aplikasi membeli-belah, penjagaan harian sehinggalah aplikasi untuk berkomunikasi dengan pihak berkuasa dan untuk pengangkutan. Aplikasi kini menjadi lebih penting berbanding telefon pintar itu sendiri.
2. Tubuh jadi kata laluan
Laman web kini meminta kata laluan yang lebih panjang dengan gabungan nombor, huruf dan simbol, menjadikan hampir mustahil untuk kita mengingatinya. Ini menyebabkan lebih ramai orang berminat untuk menggunakan biometrik sebagai kata laluan. Kajian Ericsson menunjukkan 52 peratus pengguna telefon pintar mahu menggunakan cap jari mereka berbanding kata laluan dan 48 peratus berminat menggunakan imbasan mata untuk membuka kunci skrin telefon bimbit. Sebanyak 74 peratus responden percaya telefon pintar dengan kemudahan biometrik akan menjadi perkara biasa tahun ini.
3. Ukur kuantiti diri
Tekanan darah, denyutan nadi dan jumlah langkah kaki setiap hari adalah antara contoh perkara yang pengguna ingin ukur menggunakan telefon pintar atau peranti, melalui data yang dimasukkan sendiri. Apa yang kita perlukan hanyalah satu aplikasi untuk menjejaki aktiviti yang dilakukan dan untuk mengenal diri sendiri dengan lebih baik. Sebanyak 40 peratus pengguna telefon pintar mahu menggunakan telefon masing-masing untuk merekodkan semua aktiviti fizikal dilakukan mereka manakala 56 peratus pengguna mahu memantau tekanan darah dan denyutan nadi menggunakan alat seperti cincin.
4. Internet di mana saja
Pengguna telefon bimbit kini mahukan liputan Internet di mana sahaja mereka berada. Pengalaman menggunakan Internet kini masih berada di belakang liputan untuk panggilan suara, dengan pengguna telefon pintar sedar palang isyarat pada telefon mereka tidak lagi memberikan panduan yang tepat kerana isyarat yang mencukupi untuk panggilan suara mungkin tidak begitu bagus untuk perkhidmatan Internet. Kajian mendapati pengguna paling tidak berpuas hati dengan kualiti Internet di stesen kereta api bawah tanah.
5. Telefon pintar kurangkan jurang digital
Akses Internet di peringkat global masih lagi tidak mencukupi dan agihannya tidak sama rata, menyebabkan timbul isu yang digelar jurang digital. Kemunculan telefon pintar yang lebih murah bermakna pengguna tidak lagi memerlukan komputer mahal untuk mendapatkan akses kepada Internet. Sebanyak 51 peratus pengguna di seluruh dunia merasakan telefon bimbit mereka adalah alat teknologi paling penting, dan bagi ramai pengguna, telefon bimbit menjadi peranti utama untuk penggunaan Internet, berbanding komputer.
6. Manfaat online melebihi kebimbangan
Dengan Internet kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian, risiko yang dikaitkan dengan penggunaannya menjadi semakin jelas. Sebanyak 56 peratus pengguna harian Internet bimbang mengenai isu privasi mereka. Namun, hanya empat peratus berkata mereka akan mengurangkan penggunaan Internet. Sebaliknya, pengguna mula merangka strategi untuk meminimumkan risiko termasuk lebih berhati-hati dalam memberikan jenis maklumat peribadi bagi urusan dalam talian.
7. Video semakin popular
Walaupun mempunyai banyak jenis media untuk dipilih, pengguna dilihat kurang cenderung untuk memilih sendiri apa yang ingin ditonton. Rakan-rakan menjadi pengaruh penting dalam menentukan bahan video apa yang ditonton. Kajian menunjukkan 38 peratus daripada responden berkata mereka menonton klip video yang disyorkan rakan mereka sekurang-kurangnya beberapa kali seminggu. Kajian juga menunjukkan rakan-rakan turut mempengaruhi tabiat membaca blog dan mendengar muzik bagi pengguna telefon pintar.
8. Pantau penggunaan data
Sebanyak 48 peratus pemilik telefon pintar menggunakan aplikasi untuk lebih memahami penggunaan data mereka. Sebanyak 41 peratus gunakan aplikasi untuk mengetahui banyak mana data yang digunakan manakala 33 peratus lagi menggunakan aplikasi untuk memastikan bil yang diterima berpadanan dengan penggunaan data. Sementara itu, 31 peratus pengguna memantau jumlah data untuk memastikan mereka tidak melebihi had ditetapkan penyedia perkhidmatan dan 37 peratus pengguna menggunakan aplikasi untuk menguji kelajuan Internet mereka.
9. Kod imbasan di mana saja
Disebabkan perkhidmatan Internet interaktif kini menjadi perkara biasa, pengguna semakin mengharapkan persekitaran fizikal untuk menjadi responsif. Menjelang hujung 2016, kira-kira 60 peratus pengguna telefon pintar percaya alat imbasan akan digunakan dalam semua perkara daripada penjagaan kesihatan kepada pengangkutan awam, kereta, rumah dan tempat kerja.
10. Tonton TV semasa bergerak
Sebanyak 19 peratus daripada masa menonton video secara langsung dilakukan menggunakan telefon bimbit atau tablet. Pengguna semakin ramai yang menukar lokasi di mana mereka menonton televisyen untuk menyesuaikannya dengan kehidupan harian mereka. Contohnya, pengguna mungkin mula menonton rancangan televisyen di rumah, kemudian menekan butang pause dan menyambung semula tontonan semasa perjalanan ke tempat kerja.
0 comments:
Post a Comment