GEORGETOWN – Polis menumpaskan satu kumpulan samun menggunakan senjata api apabila menahan tiga lelaki, kira-kira setengah jam selepas menyamun sebuah rumah di Jalan Tasek, Sungai Bakap dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata tiga lelaki berusia antara 28 hingga 30 tahun itu ditahan pada pukul 6 pagi selepas menyamun rumah pemilik kilang memproses makanan.
“Dalam kejadian 5.30 pagi itu, seorang daripada anggota keluarga pemilik kilang berkenaan terdengar bunyi kereta berhenti di hadapan rumah mereka dan nampak tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan masuk melalui belakang kediaman berkenaan.
“Lelaki itu sempat menelefon adik iparnya supaya memaklumkan kepada polis sebelum tiga suspek yang masing-masing bersenjatakan sepucuk pistol, parang dan kapak ternampaknya dan mengugut supaya menyerahkan wang tunai dan barang kemas jika tidak mahu dicederakan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa yang risaukan empat anggota keluarganya yang sedang tidur di bilik masing-masing menyerahkan wang tunai dan barang kemas yang kesemuanya bernilai RM30,000 sebelum tiga penyamun berkenaan melarikan diri.
Mazlan berkata hasil tindakan pantas orang awam yang menyalurkan maklumat, polis berjaya mengesan tiga lelaki terbabit dan menahan mereka di lokasi berasingan.
Lelaki pertama di tahan di kawasan kebun nanas belakang rumah mangsa, seorang lagi ditahan di kawasan kebun kelapa sawit bersama barang kemas dan wang tunai yang disamun manakala suspek ketiga ditahan di Kampung Seberang Tasek iaitu lima kilometer daripada rumah mangsa bersama kereta jenis Vios yang dilarikannya.
Beliau berkata dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah berkaitan curi, samun dan dadah manakala seorang lagi dikehendaki polis berhubung kes penipuan di Selangor.
“Polis menemui semula semua barang yang disamun mereka dan kami turut merampas sepucuk pistol semi automatik jenis Walther PPK berisi tujuh butir peluru, parang, kapak dan pelbagai peralatan pecah rumah,” katanya.
Mazlan berkata tiga lelaki yang berasal dari Selangor dan Pahang itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
Beliau berkata berikutan itu, polis memburu seorang lagi rakan mereka Lo Chi Yong, 30, juga dikenali sebagai ‘Ah Yong’ beralamat terakhir di Taman Melang, Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan No 17 Jalan NB 27/5, Nusa Bistari, Johor, bagi membantu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki itu boleh menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment