PETALING JAYA – Seorang anak meminta orang ramai membantu mencari bapanya, Mohamed Nawawi Buntal, 73, yang hilang selepas keluar sendirian dari rumahnya di Pangsapuri Permai, Petaling Jaya sejak Rabu (1 Januari).
Afnida Mohamed Nawawi, 37, pembantu tadbir di Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM) berkata kehilangan bapanya yang dikenali sebagai ‘Pak Awi’ itu disedari keluarganya setelah mendapati bapanya tidak pulang ke rumah sehingga keesokan harinya.
“Ayah saya beritahu mak yang dia mahu keluar ke pasar untuk membeli ikan dengan berjalan kaki. Namun, sehingga hari ini ayah tak balik,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.
Afnida berkata ketika meninggalkan rumah, bapanya memakai T-shirt hijau tertulis ‘Sendaloka Bersama Singer’, seluar panjang coklat, memakai topi dan membawa sekaki payung hijau.
Beliau berkata pelbagai usaha telah dibuat termasuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, mengedarkan poster di beberapa tempat serta memuat naik gambar bapanya di laman sosial, namun sehingga kini belum ada maklum balas positif.
Anak kedua daripada empat beradik itu berkata bapanya yang merupakan seorang pesara Telekom dan tinggal bersama ibu dan adik bongsu perempuannya sejak dua tahun lalu, kali terakhir dilihat di Taman Sri Manja, Petaling Jaya Selatan.
“Setakat ini ayah bukan seorang pelupa atau nyanyuk…kalau keluar pun pun mesti balik rumah, sebelum hilang tiada perselisihan faham antara kami. Bapa menghidap kencing manis dan perlu mengambil insulin dua kali sehari. Itu yang merisaukan kami sekiranya bapa lemah sebab tidak mengambil ubat tersebut,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mohamed Nawawi, diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Afnida di talian 012-3534617, Salleh 019-2564399 atau Damiri 019-6736282. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment