KUALA LUMPUR – Sebuah karya ukiran cermin terpanjang di negara ini berjaya dihasilkan seorang pelukis tempatan, Sirajudeen Kamal Batcha.
Karya tersebut yang mengandungi ukiran nama-nama Allah dan ukiran khat nama Allah dan Muhammad dalam bentuk ukiran cermin adalah sepanjang 2,616 inci atau 66 meter dan diiktiraf Malaysia Book of Records (MBOR).
Sirajudeen berkata beliau menghasilkan karya itu kerana ingin membawa bidang seni visual ke peringkat antarabangsa sekali gus menaikkan nama negara di mata dunia.
“Saya memilih nama-nama Allah (Asma Ul Husna) serta Allah Muhammad dalam bentuk khat Kufi (kaligrafi) kerana khat kufi antara kaligrafi tertua di dunia.
“Asma Ul Husna secara tersendiri mempunyai nilai yang tinggi dalam ajaran Islam serta besar ganjarannya bila kita amalkan dalam kehidupan seharian dan ibadat kita kepada Allah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengiktirafan karya tersebut di Balai Seni Visual Negara hari ini.
Majlis disempurnakan Pengerusi Yayasan Kemajuan Islam Nasional yang juga Presiden Kongres India Muslim Malaysia Senator Datuk Syed Ibrahim Kader.
Keseluruhan proses ini mengambil masa 58 hari yang mana projek ini bermula 10 Ogos dan berakhir 6 Okt lepas.
Ia diukir dengan kerja tangan yang amat halus dengan setiap satu khat kufi diukir di atas cermin, kesemuanya melibatkan 102 keping. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment