RANTAU PANJANG – Seorang anak cemas apabila mendapati ibunya meracau dan menangis selepas disamun menggunakan pisau dekat Taman Semasa, Lubok Jong, jam 7.40 pagi kelmarin.
Syarifah Murni Hajar Syed Hasan, 19, yang baru sahaja pulang ke rumah selepas menghantar kakaknya bekerja, terkejut apabila menemui ibunya, Sharipah Rabiah Syed Sulaiman, 57, terbaring di muka pintu.
“Ibu cuba memberitahu saya sesuatu, namun esakannya serta raungannya menyebabkan saya tidak dapat memahami perkara sebenar.
“Hanya selepas saya meminta ibu beristighfar dan membaca ayat Kursi, barulah dia mula bertenang dan menceritakan detik cemas ketika dia disamun bersenjatakan pisau,” katanya, semalam.
Sharipah Rabiah berkata, selepas Murni keluar menghantar kakaknya bekerja, dia menuju ke pintu namun terkejut apabila mendapati dua lelaki bertopeng menerpa masuk ke rumah sehingga menyebabkannya terjatuh.
Menurutnya, suspek mengacukan pisau rambo ke lehernya sambil menyentap rantai leher dan tiga gelang tangan emas.
“Disebabkan suspek menutup muka ala ‘ninja’, saya tidak dapat mengecam kedua-kedua penjenayah ini.
“Sejurus mendapat barang kemas, mereka terus melarikan diri ke semak bersebelahan rumah,” katanya.
Meskipun Sharipah Rabiah kerugian RM4,000 namun, dia bersyukur kerana terselamat dari sebarang kecelakaan malah, ibunya, Pah Limah Syed Yahya, 86, yang terlantar sakit, tidak diapa-apakan.
Selain itu katanya, walaupun terdapat barang berharga seperti telefon bimbit dan komputer riba, namun suspek tidak menyedarinya sebaliknya terus melarikan diri sebaik mendapat barang kemas tersebut.
Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim ketika dihubungi, mengesahkan ada menerima laporan berhubung perkara terbabit.
“Buat masa ini suspek masih belum dikenal pasti dan mangsa juga tidak dapat mengecam penjenayah terlibat.
“Namun, usaha mendapatkan maklumat serta mengesan suspek sedang dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya. – Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment