LAHAD DATU – Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) diperuntukkan sekitar RM11 juta bagi membaik pulih dan menaik taraf infrastruktur di 62 pos kawalan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Gerakan Am di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Ketua Pengarah ESSCOM, Datuk Mohammad Mentek berkata projek penambahbaikan itu akan dilaksanakan secara berperingkat tahun ini.
Beliau berkata ini adalah sebahagian daripada pelan tindakan jangka pendek dan panjang atau pelan strategik ESSCOM untuk memantapkan lagi kawalan keselamatan di Esszone berikutan serangan pengganas Sulu awal tahun lalu.
“Ini pasti akan meningkatkan semangat dan kesungguhan anggota pasukan keselamatan kita dalam mengawal sempadan pantai timur Sabah,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran projek perumahan Taman Palm Garden, kondo pertama yang menyediakan kawalan keselamatan dan kemudahan CCTV 24 jam di Lahad Datu, hari ini.
Selain itu, Mohammad berkata kerajaan melalui Esscom akan membelanjakan RM2.28 juta bagi membina semula rumah yang terbakar (semasa pencerobohan Sulu) di Tanjung Labian, Lahad Datu tidak lama lagi.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Lahad Datu, Datuk Yusof Apdal yang menyempurnakan upacara pelancaran itu dan Pengarah Primecon Sdn Bhd Chai Kim Ong.
Sambil menekankan kepentingan untuk mempertahankan keselamatan, Mohammad berkata keselamatan merupakan asas penting untuk kemakmuran sesebuah negara.
“Perdagangan dan perniagaan tidak boleh berkembang di perairan yang dipenuhi dengan kekerasan; masyarakat tidak boleh berkembang maju di bawah ancaman keganasan; dan perdagangan, termasuk projek perumahan, tidak boleh dikembang atau diperluaskan di kawasan di mana keselamatan terancam,” katanya.
Dalam hal ini, Mohammad berkata penubuhan ESSCOM, iaitu badan yang dipertanggungjawabkan untuk menyelaras operasi pelbagai badan keselamatan dan pertahanan di Esszone, adalah wajar dan tepat pada masanya.
Katanya ini menunjukkan kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan pantai timur sentiasa terjamin, sekali gus mengembalikan keyakinan pelabur termasuk pelaburan dalam industri perladangan kelapa sawit yang berkembang pesat, terutamanya di Lahad Datu.
Sebagai contoh, kata Mohammad, POIC Sabah Sdn Bhd, milik kerajaan negeri, pemaju Lahad Datu Kluster Perindustrian Minyak Sawit (POIC Lahad Datu), baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman dengan Evolution Energy LLC dari Amerika Syarikat di Kota Kinabalu.
Memorandum itu boleh diterjemahkan kepada pelaburan RM500 juta untuk menghasilkan petrol, diesel, bahan api penerbangan dan pembakaran arang batu bersih daripada pelepah dan batang kelapa sawit menjelang akhir 2015.
“…dan hari ini, kita akan menyaksikan pelancaran projek perumahan kondominium Taman Palm Garden di Lahad Datu ini. Jelas sekali, ini adalah satu lagi petunjuk keyakinan yang semakin meningkat sektor swasta untuk melabur di timur Sabah — tempat yang selamat untuk pelaburan,” katanya.
Mohammad berkata ESSCOM sentiasa cuba sedaya upaya melakukan yang terbaik untuk mengawal keselamatan di sempadan perairan Sabah yang begitu luas.
“Ini merupakan cabaran yang besar bagi ESSCOM. Kami sedar bahawa rakyat Sabah, khususnya, dan Malaysia, secara umum, meletakkan harapan tinggi pada ESSCOM untuk menjayakan misi ini…sebab itu, Esscom telah merangka pelan tindakan jangka pendek dan panjang bagi menjayakan misi murni ini,” katanya.
Mohammad berkata tugas untuk mempertahankan keamanan dan keselamatan bukan sesuatu yang mudah dan tidak seharusnya disandarkan sepenuhnya kepada pasukan keselamatan atau kerajaan.
Ke arah itu, katanya, semua pihak termasuk swasta, pemimpin masyarakat dan orang ramai perlu berganding bahu bagi menangani cabaran keselamatan yang pelbagai dan rumit, termasuk jenayah rentas sempadan seperti pencerobohan dan penculikan.
“Kita harus bekerjasama mempertahankan keselamatan. Dialog dan kerjasama adalah asas untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan di negeri ini, dan ini kita boleh mulakan melalui kerjasama untuk menjaga dan mengawal keselamatan kejiranan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohammad menyambut baik initisiatif Primecon Sdn Bhd, pemaju perumahan Taman Palm Garden yang menyediakan kemudahan kawalan keselamatan dan CCTV 24 jam. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment