KUALA KANGSAR – Jambatan Victoria di Kuala Kangsar, antara jambatan kereta api tertua di negara ini, akan menjadi destinasi tarikan pelancongan, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata jambatan berusia 114 tahun itu adalah satu peninggalan sejarah yang perlu dipelihara untuk menjamin kesinambungannya.
“Jambatan ini dan kawasan sekitarnya boleh menjadi tarikan pelancong berdasarkan pelbagai sejarah silam mengenainya, yang turut mewarnai sejarah kampung di sini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Binaan yang merentangi Sungai Perak itu turut dikenali sebagai Jambatan Enggor kerana terletak di Enggor, Pekan Karai di Kuala Kangsar.
Mula dibina tahun 1897 dan siap sepenuhnya pada 1900, jambatan itu melengkapkan perjalanan kereta api dari Enggor ke Kuala Kangsar sebelum digunakan sepenuhnya bagi perjalanan dari Perai, Pulau Pinang ke Johor Bahru pada 1910.
Sementara itu, Presiden Persatuan Pelancongan Keretapi Malaysia Khadijah Abd Rahman berkata Jambatan Victoria tidak lagi digunakan sejak 2002 selepas jambatan konkrit berhampiran siap dibina.
Katanya, jambatan itu mengambil nama Ratu Victoria bersempena sambutan Jubli Intan pemerintahan baginda pada 1897. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment