KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan industri (TIV) automotif Malaysia mencatatkan angka paling tinggi dengan sebanyak 655,793 unit dikeluarkan pada 2013, meningkat 4.5 peratus berbanding 627,753 unit pada 2012, kata Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Rabu.
Angka tertinggi baharu ini mengatasi unjuran MAA sebanyak 640,000 unit.
Presidennya Datuk Aishah Ahmad berkata ini merupakan tahun keempat berturut-turut industri automotif tempatan melepasi paras 600,000 sejak 2010 sebanyak 605,156 unit.
“Prestasi tertinggi pada tahun lepas itu disumbangkan oleh kempen jualan agresif oleh syarikat-syarikat kereta selain tawaran yang inovatif dan menarik serta skim untuk pembeli kereta baharu.
“Sentimen pengguna pada 2013 juga positif berikutan pasaran pekerjaan yang stabil serta jualan kenderaan yang kembali ke paras biasa pada suku ketiga, menyebabkan TIV pada suku berkenaan meningkat sebanyak 12 peratus berbanding pada suku tahun sebelumnya,” katanya pada taklimat media di sini.
Aishah bagaimanapun menjangkakan pertumbuhan TIV yang lebih perlahan, pada 2.0 peratus tahun ini, kepada 670,000 unit berikutan kos sara hidup yang meningkat yang menyebabkan pengguna mengecilkan aset mereka.
“Satu perkara yang kami pasti ialah pengguna sekarang mengurangkan perbelanjaan mereka. Harga telah meningkat dan orang ramai kurang kemampuan membeli.
“Golong kaya, saya rasa masih mampu (untuk membeli) tetapi bukan dalam kalangan pertengahan, manakala golongan berpendapatan rendah mendapati sukar untuk mendapatkan pinjaman,” katanya.
Sementara itu, pengeluaran kenderaan baharu pada 2013 mencatatkan peningkatan sebanyak 31787 unit atau 5.6 peratus kepada 601,407 unit berbanding 569,620 unit pada 2012, kali pertama industri melebihi tahap 600,000.
Mengenai prestasi industri pada 2013, Aishah berkata jumlah pendaftaran kenderaan penumpang baharu meningkat 4.4 peratus atau 24.468 unit kepada 576,657 unit berbanding dengan 552,189 unit yang dicatatkan pada 2012. - BERNAMA
0 comments:
Post a Comment