PUTRAJAYA – Warga kerja Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dinasihatkan supaya bekerja dalam satu pasukan untuk menjadikan KKMM sebuah kementerian strategik yang menyelaras dan menghubungkan semua kementerian lain dalam konteks penyampaian maklumat dan komunikasi.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau percaya semua warga KKMM mempunyai kepintaran dan kekuatan bagaimana untuk meletakkan KKMM diiktiraf sebagai kementerian yang strategik.
“Maka untuk mencapai matlamat berkenaan, semua warga KKMM perlu membina hubungan yang baik dengan warga kementerian-kementerian lain,” katanya dalam ucapan amanat pada perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri KKMM Datuk Jailani Johari, Ketua Setiausaha baharu KKMM Datuk Seri Abd Rahim Mohd Radzi, Timbalan Ketua Setiausaha II Datuk Che Azemi Haron dan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Yong Soo Heong.
“Saya telah memberitahu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa bahawa saya mahu meletakkan KKMM sebagai sebuah kementerian yang strategik,” kata Ahmad Shabery.
Sehubungan itu, Ahmad Shabery berkata beliau memberi masa antara dua hingga tiga bulan kepada Abd Rahim untuk menyesuaikan diri dan berperanan dalam membantu KKMM untuk mewujudkan persepsi positif rakyat terhadap program-program yang dilaksanakan kementerian.
Oleh itu beliau mengingatkan semua warga KKMM supaya bekerja dan menjalin hubungan baik dengan rakan sekerja.
“Cuba elak daripada wujudnya konfrontasi (perselisihan faham), kerana setiap pekerja pasti mempunyai perwatakan yang berbeza,” katanya.
Ahmad Shabery turut membidas mereka yang mempersoal tindakan kerajaan memberikan televisyen kepada mangsa banjir baru-baru ini kerana set televisyen bukannya barang mewah tetapi medium komunikasi penting terutama kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan agensi-agensi kerajaan lain untuk menyalurkan maklumat.
Televisyen adalah antara medium komunikasi yang mampu memberi pulangan strategik iaitu memperjelaskan mengenai isu-isu semasa yang sering dibangkitkan untuk mengkritik kerajaan, katanya.
“Selain itu, penggunaan TV digital sepenuhnya di seluruh negara pada masa depan membolehkan KKMM melakukan kaji selidik terhadap trend dan kesukaan penonton TV tanpa perlu menggunakan khidmat kajian oleh penyelidik pasaran pada masa depan,” kata Ahmad Shabery.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan Sijil Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2008 bagi skop ‘Pemasaran Maklumat mengenai Dasar-Dasar Kerajaan’ oleh Sirim QAS International Sdn Bhd yang diperolehi Jabatan Penerangan Malaysia untuk tempoh 4 Sept 2013 hingga Julai 2016 kepada Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Datuk Ibrahim Abdul Rahman.
Selain itu, KKMM yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) turut diumumkan memenangi Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan berdasarkan indeks Akauntabiliti tahun 2012 oleh Jabatan Audit Negara.
Anugerah berkenaan diterima oleh Abd Rahim bagi pihak KKMM.- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment