Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Monday, January 13, 2014

No Comment

BAU (Sarawak) – Warga emas, Jonin Nohe, 65, yang mengalami masalah katarak hampir berputus asa untuk merawat mata kanannya apabila memikirkan kos yang perlu ditanggung untuk melakukan pembedahan katarak.

Lelaki dari Kampung Grogo di daerah Bau itu telah bertemu dua pakar mata di Kuching, yang mana kedua-duanya menganggarkan kos merawat katarak mencecah RM2,000, jumlah yang agak besar bagi warga emas yang berpendapatan kecil sepertinya.

Walaupun masalah katarak tidak mengganggu aktiviti hariannya namun bapa kepada tujuh anak itu tetap berharap masih ada harapan bagi memulihkan deria penglihatannya yang merosot sejak hampir setahun lepas.

KK1M BAWA HARAPAN BARU

Bagaimanapun pelancaran Klinik Katarak 1 Malaysia (KK1M) peringkat zon Sarawak pada 1 Sept tahun lepas membawa harapan baru kepada Jonin untuk memulihkan penglihatannya yang terganggu.

Ketika giliran perkhidmatan klinik bergerak KK1M di Hospital Bau bermula pada 11 Nov lepas, lelaki Bidayuh itu telah berada di hospital itu seawal pukul 7.00 pagi bagi menjalani saringan dan pemeriksaan percuma.

Hospital Bau mengambil giliran kedua selama dua minggu bagi mengadakan perkhidmatan itu selepas Hospital Lundu dan kemudian akan diikuti Hospital Serian, Hospital Sri Aman, Hospital Betong dan Hospital Saratok.

Dalam bilik saringan dan pemeriksaan, Jonin berasa yakin dan selesa dengan peralatan rawatan katarak canggih yang dikendalikan oleh kakitangan terlatih.

Antara peralatan itu termasuk cheratometer untuk memeriksa kelengkungan kornea, digital retinal camera bagi melihat keadaan belakang mata, autolensmeter bagi melihat panjang bola mata, phacoemulsification bagi menyedut katarak serta mikroskop pembedahan.

Jonin adalah antara 441 pesakit yang menerima perkhidmatan KK1M di Hospital Bau dan lebih menggembirakannya, beliau adalah antara yang layak menerima rawatan selanjutnya dengan kos pembedahan hanya RM540.

PESAKIT KATARAK GEMBIRA KEHADIRAN KK1M

“Seronok ‘kuat’ saya hari ini, kos pembedahan klinik swasta kena bayar tinggi, KK1M hanya dibayar RM540 (kos kanta), banyak-banyak terima kasih kepada kerajaan,” kata Jonin.

Turut menikmati kemudahan itu ialah seorang pesara Limber Nyuai, 74, dari Kampung Sibuluh yang mengalami masalah katarak di kedua-dua belah matanya.

Selain itu, pada 2001, mata kiri pesara Jabatan Kerja Raya (JKR) itu tertusuk serpihan kayu ketika menghalau penyengat yang bersarang di sebatang pokok.

Setahun selepas itu mata kanannya pula cedera selepas seekor ikan lampam Jawa yang sedang ditangkapnya melompat dan menerjah matanya.

“Kalau bayaran di KK1M macam doktor swasta, saya pun tak mau, tapi kerajaan dah beri murah macam ini, rugi lah kalau kita tidak gunakan sebaik mungkin,” kata Limber

Lelaki warga emas itu berharap penglihatannya yang kini kabur dapat dipulihkan melalui perkhidmatan KK1M.

KATARAK BERULANG    

Seorang lagi warga emas dari Bau, Ijon Kedi, 71, yang mengalami masalah katarak sejak 1985 dan pernah menjalani pembedahan sebanyak dua kali pada 1986 berharap KK1M dapat menyelesaikan masalahnya.

Beliau pernah menjalani pembedahan katarak sebanyak dua kali pada 1986 di Hospital Kuala Lumpur (HKL) namun setahun kemudian, matanya kembali bermasalah.

Ijon menyifatkan alatan moden yang disusun kemas, seakan memberi suntikan ‘semangat’ kepadanya selepas pengalaman pertama pembedahan katarak kira-kira 27 tahun lepas.

“Sekarang alat dah canggih, perkhidmatan disediakan pula murah, beri semangat tambahan untuk dapatkan rawatan dan harap kembali mempunyai penglihatan yang baik,” kata lelaki itu.

Jonin, Limber, dan Ijon adalah sebahagian kecil daripada ribuan pesakit katarak yang mewarnai perkhidmatan KK1M di Sarawak.

KK1M TAWAR CAJ MINIMUM

Koordinator program KK1M Zon Sarawak, Dr Mohamad Aziz Salowi berkata klinik bergerak itu menawarkan kemudahan pemeriksaan mata serta pembedahan katarak yang lebih menyeluruh kepada penduduk negeri ini.

“Rakyat menikmati rawatan katarak oleh pakar-pakar mata yang sangat komited dan berpengalaman. Dengan caj rawatan minimum untuk perkhidmatan terbaik, KK1M Zon Sarawak dapat mengurangkan beban pesakit,” katanya.

Menurutnya, pegawai sosial perubatan akan menilai semua pesakit yang disenaraikan untuk pembedahan katarak sama ada mereka layak untuk menerima kanta dan kos pembedahan percuma.

“Jika didapati tidak layak (menerima kanta dan kos pembedahan percuma), mereka dikehendaki membayar kos minimum antara RM500 dan RM800 untuk membeli kanta yang sesuai di samping kos minimum pembedahan sebanyak RM103,” katanya.

KOS BEGITU MURAH

Kos itu jauh lebih murah berbanding kos pembedahan katarak di hospital swasta, katanya.

Optometris Hospital Umum Sarawak (HUS), Ku Hazemie Ku Ismail, yang terbabit secara langsung melakukan pemeriksaan mata bagi perkhidmatan KK1M berkata, perkhidmatan itu mendapat sambutan menggalakkan.

Menurut beliau, kebanyakan pesakit yang menerima perkhidmatan KK1M berusia lebih 50 tahun dan mereka menaruh harapan besar kepada perkhidmatan itu.

Ku Hazemie berpendapat, perkhidmatan KK1M di Sarawak telah mencapai sasaran perkhidmatannya berdasarkan sambutan yang menggalakkan itu.

KK1M BAWA SINAR BAHARU

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata pembedahan katarak di seluruh negara pada 2011 berjumlah 31,658 atau meningkat hampir tiga kali ganda berbanding 2002 dengan hanya 12,798.

Bagi negeri Sarawak, jumlah pembedahan katarak sepanjang tahun lepas adalah sebanyak 3,664 berbanding 2,082 pada 2008.

Projek KK1M Zon Sarawak menelan belanja RM1.1 juta termasuk perkhidmatan klinik bergerak yang beroperasi di semua hospital negeri ini secara bergilir.

Sesungguhnya KK1M membawa sinar baharu bukan sahaja kepada Sarawak malahan seluruh pesakit katarak negara ini. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment