Tengku Mohamad Faris/Pic:Sinar Harian
KOTA BHARU: Seorang pemuda yang dipercayai baru pulang dari tempat kerja, maut apabila motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan lalu merempuh kenderaan pacuan empat roda di laluan bertentangan di Wakaf Stan, di sini, pagi semalam.
Kejadian pada jam 12.45 pagi itu menyebabkan mangsa Tengku Muhamad Faris Tengku Hassan, 21, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari Kubang Kerian menghala ke Binjai dikatakan hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
Akibat pelanggaran itu, mangsa yang dipercayai merempuh bahagian sisi kanan kenderaan Mitsubishi itu, terjatuh dari motosikalnya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dari siasatan yang dilakukan dipercayai selepas sampai di selekoh Binjai ke Kubang Kerian, motosikal berkenaan gagal dikawal dan masuk ke laluan lain.
“Akibat perlanggaran itu mangsa yang berasal dari Kampung Pasir Tok Kambing, Binjai, maut di tempat kejadian.
“Jenazah mangsa yang merupakan pembantu kedai makan di Pasar raya Mydin, Kubang Kerian itu di bawa ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat dan jenazahnya dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian,” katanya.
Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
0 comments:
Post a Comment