KUALA LUMPUR – Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) menafikan laporan akhbar Metro bahawa sebuah treler yang terlibat dalam satu kemalangan ngeri semalam mempunyai kaitan dengan syarikat itu.
MRT Corp sebaliknya menjelaskan bahawa treler terbabit tidak mempunyai kaitan dengan projek MRT seperti dalam laporan akhbar itu hari ini yang bertajuk, “Tayar pecah undang tragedi”.
“Laporan tersebut menyatakan bahawa kejadian sebuah treler yang membawa dua unit konkrit landasan yang terbabas selepas tayar depan pecah lalu merempuh sebuah kereta adalah untuk projek MRT.
“MRT Corp ingin menjelaskan kejadian ini tidak ada kaitan dengan projek MRT. Kami juga mendapati daripada pihak kontraktor bahawa tiada pergerakan membawa struktur binaan sebegitu pada hari kejadian,” kata kenyataan itu hari ini.
Sehubungan itu, MRT Corp mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa kejadian tersebut dan mendoakan mereka yang tercedera akan sembuh secepat mungkin.
Metro hari ini melaporkan seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan treler, kereta dan motosikal di kilometer 453.2 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan berhampiran dengan susur keluar ke Hospital Sungai Buloh (HSB).
Dalam kejadian jam 1.30 petang, sebuah treler yang membawa dua unit konkrit landasan MRT terbabas selepas tayar depan kenderaan itu tiba-tiba pecah sebelum merempuh sebuah kereta Toyota Altis dari arah sama.
0 comments:
Post a Comment