Datuk Hasan Malek
KUALA LUMPUR - Pemantauan berterusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengunaan (KPDNKK) dalam Ops Harga 2014 menyaksikan penurunan jumlah kes dan notis yang dikeluarkan pada hari ketiga operasi yang diadakan sejak Isnin.
Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, sebanyak 9,124 premis perniagaan diperiksa di seluruh negara semalam dan daripada jumlah itu, 96 kes telah diambil tindakan manakala dua notis dikeluarkan, melibatkan nilai rampasan RM48,402.41.
"Dua notis yang dikeluarkan itu ialah di Pahang dan Wilayah Persekutuan Labuan. Daripada 96 kes itu, 65 kes adalah di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatuan 2011, 29 kes Akta Timbang dan Sukat 1972 dan dua kes Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya kepada Bernama di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Hasan berkata, Sarawak mencatatkan kes tertinggi iaitu 27, diikuti Sabah (17), Negeri Sembilan (16), Johor (13), Selangor (enam), Perlis (empat), Perak (tiga), Pahang (tiga), Terengganu (dua), Kedah (dua), Putrajaya (dua) dan Pulau Pinang (satu).
Pasar basah terus menjadi lokasi utama pemeriksaan apabila 3,735 pasar basah diperiksa, pasar malam atau pasar tamu (2,061), pasar tani (1,572), kedai runcit (857), gerai makan (203) dan kedai makan (181).
Pemeriksaan juga meliputi mini market (148), restoran (141) dan medan selera (128), hentian rehat dan rawat (R&R) (lapan), pasar raya (47), pasar raya besar (18), pemborong (24) dan pengeluar (satu).
Ops Harga 2014 melibatkan 1,800 pegawai penguatkuasa dan 1,100 pegawai pemantau harga dan memberi tumpuan kepada tiga perkara iaitu penandaan harga, pengeluaran notis Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan serta memeriksa alat timbang dan sukat. - Bernama
0 comments:
Post a Comment