NEW DELHI – Penuntut bidang pergigian tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di India terus mencatat kejayaan dengan mendapat kelulusan cemerlang dan memenangi beberapa anugerah.
Dr Milton Tsai Hongli, 24, dari Kuching, Sarawak baru-baru ini mendapat anugerah berprestij ‘Pierre Fauchard Best Out-going Student Award’ dan ‘International College of Dentists Student Plaque Award’ di Bapuji Dental College & Hospital Davangere, Karnataka.
Seorang lagi penuntut, Dr Roger Lau Sie Long, 24, dari Sarikei, Sarawak pula dianugerah ‘Best Outgoing Student of 2013′ oleh dua akademi iaitu International College of Dentists (seksyen India, Sri Lanka dan Nepal) dan ‘Pierre Fauchard Academy. Lau menuntut di College of Dental Sciences, Davangere, Karnataka.
“Saya gembira kerana semua kerja keras saya akhirnya berhasil dan saya tidak mengecewakan keluarga, pensyarah dan negara saya. Adalah satu penghormatan untuk menerima anugerah berprestij seperti ini,” kata Tsai yang merupakan anak pesara.
Tsai berkata beliau amat berterima kasih kepada JPA kerana menaja pengajiannya, yang membolehkan beliau melanjutkan pelajaran tanpa membebankan ibu bapanya yang telah bersara.
Ditanya pengalaman menuntut di India, beliau berkata ia menjadikannya seorang yang lebih kuat untuk menyesuaikan diri dalam suasana yang jauh berbeza dari negara sendiri.
“Saya masih ingat saya sakit perut dan cirit-birit sebelum biasa dengan makanan selatan India di sini. Bekalan eletrik di sini pula sentiasa terputus dan kami perlu bergantung kepada generator untuk belajar.
“Pengalaman di sini menyebabkan saya lebih cintakan dan menghargai keselesaan di negara sendiri. Saya sedar saya amat bertuah,” kata Tsai.
Sementara itu, Lau pula mengucapkan terima kasih kepada ibu bapanya atas usaha dan sokongan berterusan untuk membolehkan beliau memenuhi cita-citanya, walaupun mereka datang daripada keluarga berpendapatan rendah iaitu peniaga gerai makan.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada JPA atas sokongan mereka kepada saya selama ini. Tanpa JPA, adalah mustahil untuk saya meneruskan pengajian dalam bidang pergigian di India,” katanya kepada Bernama melalui emel.
Mengenai keadaan di India, Lau berkata walaupun penuntut terdahulu daripadanya telah memberi gambaran mengenai suasana di India dan beliau telah bersedia untuk itu, kenyataan yang dilalui apabila berada di sini mengejutkannya.
“Saya amat kecewa dengan keadaan hidup di sini. Kekurangan kemudahan asas seperti elektrik, tahap kebersihan, pengangkutan, makanan dan minuman jauh lebih teruk daripada apa yang saya bayangkan. Keadaan ini membuatkan saya lebih menghargai negara saya – Malaysia,” katanya.
Tsai dan Lau berhasrat untuk melanjutkan pengajian mereka, tetapi buat masa ini mereka mahu pulang dan berkhidmat untuk rakyat di negara sendiri. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment