IPOH – Kerajaan Perak menyasarkan ketibaan lima juta pelancong ke negeri itu sepanjang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pelancongan, Kebudayaan negeri Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata sasaran itu realistik memandangkan pada 2012 Perak menerima 5.8 juta pelawat.
Pada 2012, tidak ada penerbangan terus ke Perak sedangkan untuk tahun ini ada syarikat yang akan mengendalikan perkhidmatan tersebut, justeru kita letakkan angka lima juta sebagai sasaran realistik, katanya selepas perasmian sambutan TMM 2014 di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, di sini hari ini.
Katanya bagi memastikan sasaran tahun ini tercapai, kerajaan negeri menerusi kerjasama Tourism Malaysia Perak dan syarikat pelancongan swasta, merancang pelbagai inisiatif baharu selain menambah baik produk sedia ada.
“Pelbagai acara dirancang khususnya untuk menambah bilangan pelancong asing ke negeri ini antaranya Royal Belum World Drum Festival dan Pangkor International Dialogue,” katanya.
Selain itu kerajaan negeri juga bekerjasama dengan kerajaan negeri lain bagi mempromosikan produk pelancongan di Perak yang berpotensi, di samping mengadakan padanan perniagaan dengan negeri-negeri berkenaan bagi tujuan jualan pakej percutian kepada pelancong domestik, katanya.
Menurut Nolee Ashilin, kerajaan negeri juga mengadakan pertandingan fotografi dengan kerjasama pemegang konsesi lebuh raya PLUS Berhad.
Gambar yang diambil peserta akan dipapar dalam laman Facebook Tourism Malaysia Perak dan gambar yang menerima ‘Like’ terbanyak akan diisytihar pemenang, katanya menambah antara hadiah ialah pakej percutian. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment