JURU – Pembuat kereta nasional, Proton Holdings Bhd, bersedia untuk ke peringkat lebih tinggi bagi mencapai aspirasi Dasar Automotif Nasional (NAP) yang diumumkan baru-baru ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Lukman Ibrahim berkata NAP yang disemak semula itu telah diterima dengan baik kerana ia bukan sahaja menyokong pengeluar tempatan tetapi juga bertujuan untuk menjadikan Malaysia hab bagi kenderaan cekap tenaga (EEV).
“Proton perlu bersiap sedia dengan persiapan dan rancangan untuk mencapai aspirasi NAP ini dan kami berada pada landasan yang betul,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan varian Satria Neo Standard 4AT dan Inspira Super Premium sempena karnival jualan Proton.
Kerajaan baru-baru ini mengumumkan NAP yang telah disemak semula dengan mengeluarkan syarat tertentu bagi lesen pengilang dalam usaha untuk menjadikan negara ini sebagai hab serantau bagi pengeluaran EEV.
Mengenai varian Proton baharu berkenaan, Lukman berkata kereta itu disasarkan untuk profesional muda yang berumur antara 25 dan 35 tahun.
Beliau berkata Proton melanjutkan model Satria Neo Standard 4AT kepada segmen pasaran lebih luas memandangkan ia pada harga yang mampu dimiliki dan nilai untuk wang.
“Satria adalah model ikonik dalam arena automotif Malaysia, dari model yang paling awal dilancarkan pada 1994 dengan model Neo R3 yang dilancarkan pada 2008, ia sentiasa menjadi kegemaran dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya.
Proton Satria Neo Standard 4AT merupakan versi yang lebih baik daripada model Satria Neo Standard MT, yang dijual pada RM54,513,50 (warna solid) dan RM54,963,50 untuk metalik.
Sementara itu, Inspira Super Premium, sama seperti Suprima S Super Premium, dijual pada harga RM102,000, bagi pelanggan yang mengutamakan spesifikasi kereta.
Lukman berkata sejak pelancaran Inspira pada tahun 2010, model itu telah diterima dengan baik dan varian baharu menawarkan kelebihan lebih sporty.
Karnival jualan Proton menawarkan diskaun sehingga RM5,388 dan pakej pembiayaan istimewa termasuk skim unik yang dikenali sebagai “Ambil Dulu Bayar Kemudian”.
PROTON OPTIMIS CAPAI JUALAN LEBIH TINGGI TAHUN INI
Pembuat kereta negara, Proton Holdings Bhd, optimis mencapai jualan yang lebih tinggi dengan pengenalan model dan variasi baharu di pasaran, tahun ini.
Timbalan ketua pegawai eksekutif, Datuk Lukman Ibrahim berkata Proton positif berikutan trend menggalakkan bagi jumlah volum industri (TIV) tahun lepas.
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) berkata TIV itu mencatatkan rekod ketinggian 655,793 unit pada 2013, naik 4.5 peratus, berbanding 627,753 unit pada 2012, mengatasi unjuran MAA iaitu 640,000 unit.
Selain itu, Lukman berkata segmen B “Kereta Kecil Global” Proton yang dijangka dilancarkan pada setengah pertama tahun ini, akan menjadi satu lagi faktor yang akan mendorong penjualan.
“Kami optimis tentang angka yang lebih baik tahun ini dengan pelancaran ‘Kereta Kecil Global’, prestasi TIV yang positif, ekonomi yang sihat dan pelancaran model dan variasi baru,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Satria Neo Standard 4AT dan Inspira Super Premium yang diadakan sempena karnival jualan tiga hari syarikat itu.
Proton menyasarkan lebih daripada 700 tempahan sepanjang pameran itu.- BERNAMA
0 comments:
Post a Comment