KOTA KINABALU – Pergerakan Puteri Umno menolak cadangan untuk melaksanakan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi menangani tindakan puak ekstremis minoriti di negara ini, kata ketuanya Mas Ermieyati Samsudin.
Beliau berkata undang-undang yang menggantikan ISA iaitu Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 adalah memadai untuk menangani kes sedemikian.
“Apa yang penting ialah peningkatan penguatkuasaan undang-undang itu dan bukannya pelaksanaan semula ISA,” katanya kepada media pada majlis Makan Malam Jasamu Dikenang anjuran Pergerakan Puteri Umno Sabah di sini, semalam.
Beliau mengulas cadangan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya kerajaan melaksanakan semula ISA bagi menangani ekstremis minoriti yang semakin melampau di negara ini.
Bagaimanapun Mas Ermieyati berkata pergerakan itu berpendapat bahawa cadangan Dr Mahathir ada kewajarannya berikutan beberapa kejadian baru-baru ini.
Terdahulu, Mas Ermieyati memuji Pergerakan Puteri Umno Sabah kerana menganjurkan majlis itu untuk mengenang jasa bekas pemimpin-pemimpin Puteri Umno Sabah yang telah banyak berjasa dalam membantu pergerakan itu di peringkat negeri.
Katanya Puteri masih memerlukan nasihat dan bimbingan mereka untuk membantu kepimpinan baharu melaksanakan amanah dan tanggungjawab sayap itu. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment