TERENGGANU sudah memulakan persiapan rapi untuk memastikan kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 yang akan berlangsung di Perlis Mei depan miliknya kembali.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia Negeri Mohd Mahdi Musa berkata antara langkah yang diambil ialah mengadakan siri kem latihan untuk semua atlet yang terlibat.
“Kami telah mengadakan Mini Kem Sukma semata-mata bagi merampas kejuaraan yang kami terlepas tahun lepas setelah memenanginya empat kali berturut-turut sebelum itu.
“Sepuluh hingga 12 acara yang kami sasarkan, mampu menghasilkan pingat emas antaranya berbasikal, angkat berat, kenu, tae kwan do, sepak takraw, boling padang, petanque, perahu layar, hoki lelaki dan wanita,” katanya pada majlis penutup Mini Kem Sukma XVII 2014 di Peladang Agro Resort di sini.
Beliau yakin dengan kesungguhan semua pihak, terutama, atlet sendiri serta perhatian serius kerajaan negeri, mampu mengembalikan kejuaraan Sukma ke negeri penyu ini.
“Kami lihat sendiri kesungguhan kerajaan negeri dalam memberi tumpuan terhadap bidang sukan dengan menjaga kebajikan atlet sebaik mungkin,” kata Mohd Mahdi.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerja dan Pengelola Program Mini Kem Ibni Amin Busu yang juga Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) berkata kebanyakan atlet Terengganu ke Sukma kali ini adalah atlet yang berjaya mencipta kejayaan semasa kejohanan di Kuantan dua tahun lepas.
“Enam puluh peratus atlet kami adalah mereka yang mengambil bahagian dalam Sukma di Kuantan yang memungut 62 pingat emas dan menjadi juara. Kebanyakan mereka berumur 21 tahun,” katanya. Tahun lepas Sukma diadakan di Kuala Lumpur.
Ketika ditanya jumlah pingat emas yang disasarkan, Ibni Amin berkata pihaknya akan menilainya setelah tamat latihan keseluruhan. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment