Dari kiri: Yasui, Hibi, Asmat dan Ismet melancarkan Toyota Corolla Altis di Damansara, semalam.
PENGELUAR dan pengedar kenderaan Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor Sdn Bhd yakin dapat menjual 9,000 unit model Toyota Corolla Altis serba baharu yang dilancarkan, semalam.
Presidennya, Datuk Ismet Suki berkata, sasaran tersebut dijangka mampu menyumbang sehingga 10 peratus kepada jualan keseluruhan kenderaan Toyota pada tahun ini.
“Jika tahun lalu, Toyota menjual kira-kira 92,000 unit kenderaan bagi semua jenis model, tahun ini kami menjangkakan lebih 100,000 unit mampu dijual terutama selepas pelancaran Toyota Corolla Altis baharu hari ini (semalam),” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran Toyota Corolla Altis Serba Baharu di Damansara.
Katanya, sejak November 2013, UMW Toyota Motor menerima hampir 1,000 unit tempahan untuk Toyota Corolla Altis baharu itu.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri Pengerusi UMW Toyota Motor Tan Sri Asmat Kamaludin; Timbalan Pengerusinya, Datuk Takashi Hibi dan Ketua Jurutera Toyota Corolla Altis, Shinichi Yasui.
Menurut Ismet, Toyota Corolla Altis serba baharu itu merangkumi penambahbaikan gaya, reka bentuk dalaman dan luaran serta teknologi automotif yang dikemas kini bagi semua varian.
Katanya, model tersebut boleh didapati dalam lima warna iaitu putih; perak; hitam serta dua warna baharu iaitu kelabu dan coklat gelap.
Toyota Corolla Altis menawarkan tiga varian, dengan varian 1.8E berharga RM114,000; varian 2.0G berharga RM123,000 manakala varian 2.0V dijual pada harga RM136,000.
0 comments:
Post a Comment