KEMAMAN – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang bekerjasama dengan agensi perisikan antarabangsa bagi menyiasat kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Katanya PDRM sedang mengumpul maklumat daripada pelbagai pihak selain meneliti semula rakaman kamera litar tertutup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari kejadian sehingga pesawat berlepas.
Polis tidak meletakkan ancaman pengganas sebagai faktor utama kehilangan pesawat MH370 itu tetapi tidak menolak kemungkinan tersebut, katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Sehubungan itu beliau meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung identiti penumpang yang dilapor menaiki pesawat berkenaan menggunakan pasport palsu.
Dalam sidang media di ibu negara hari ini, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata nama keempat-empat penumpang yang didakwa menggunakan pasport palsu itu sudah diserahkan kepada agensi perisikan negara dan antarabangsa untuk siasatan lanjut.
Mengulas lanjut, Khalid berkata PDRM juga akan menggerakkan anggotanya bagi membantu operasi mencari dan menyelamat.
Pesawat Boeing 777-200 yang mengendalikan penerbangan MH370 ke Beijing itu dilapor hilang daripada radar menara kawalan trafik udara kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA pada 12.41 pagi Sabtu.
Pesawat itu membawa 227 penumpang dari 14 negara selain 12 anak kapal.
Terdahulu Khalid menyampaikan sumbangan kepada 147 anggota PDRM yang terjejas banjir buruk awal Disember lepas.
Daripada jumlah itu, warga PDRM Kuantan paling banyak menerima bantuan iaitu 95 orang diikuti Dungun (45), Kuala Terengganu (5) dan Marang (2).
Masing-masing menerima bantuan RM530, sumbangan Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment