KUALA LUMPUR – Pelajar tahun akhir kejuruteraan INTI Kolej Antarabangsa Subang, Ganesh Muran berjaya mencipta alat penapisan air menggunakan tenaga suria yang mampu menghasilkan sehingga 20,000 liter air bersih.
Alat penapisan itu yang merupakan sebahagian daripada projek tahun akhir pelajar tersebut dikatakan berupaya menghasilkan air bersih hanya pada kos 0.025 sen seliter.
Secara umumnya, unit modular itu menggunakan penapis fizikal dan cahaya sinaran lembayung ungu (UV) bagi menyediakan air yang selamat untuk diminum.
“Saya mencipta alat ini kerana menyedari masalah ketiadaan air minuman bersih menjejaskan sesebuah negara, melambatkan perkembangan sosial dan ekonomi, mengakibatkan mangsa kemiskinan, membantutkan tahap pendidikan dan mewujudkan penindasan,” katanya melalui satu kenyataan media hari in.
INTI Kolej Antarabangsa Subang dalam kenyataan sama memberitahu, Ganesh mempunyai minat mendalam terhadap tenaga boleh diperbaharui dan berjaya mencipta prototaip alat penapisan air yang mudah digunakan, boleh dijual pada harga mampu milik dan dilengkapi ciri-ciri keselamatan
Beliau turut terpilih ke peringkat akhir Pertandingan Impak Global anjuran Project Renaissance baru-baru ini dan berpeluang memenangi tajaan bernilai RM97,000 untuk mewakili Malaysia ke Singularity University di Lembah Silikon, Amerika Syarikat.
“Juara pertandingan akan mengikuti Program Pengajian Ijazah dari bulan Jun hingga Ogos 2014 di NASA Research Park dan akan dibimbing oleh pakar-pakar dalam pelbagai bidang termasuk bidang robotik, nanoteknologi, bioteknologi, neurosains, usahawan, jurutera persekitaran dan banyak lagi,” kata kenyataan itu.

0 comments:
Post a Comment