BEBERAPA hari lalu, kecoh seketika mengenai masalah disiplin pelakon Aiman Hakim Redza kerana menarik diri secara tiba-tiba dari perlawanan amal bola sepak Malaysian Artist Sports Club (MASC) di Sabah.
Dia yang sepatutnya menyertai rombongan 15 artis termasuk Danny X-Factor dan Fahrin Ahmad ke Labuan itu dikatakan tidak muncul-muncul di lapangan terbang. Bila dihubungi, alasan yang diberikan pengurusnya, dia tidak mahu pergi!
Waduh, memang panaslah hati mereka yang terlibat kerana segala-galanya sudah disediakan termasuklah pelbagai promosi.
Bagaimanapun, melalui Sinar Harian hari ini, Aiman memohon maaf atas kekhilafannya itu dan menjelaskan ia terjadi atas sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Saya memang teringin untuk ke Labuan dan main bola bersama rakan-rakan yang lain. Tapi, pada masa yang sama. saya terpaksa membuat pilihan.
“Sebenarnya, saya sedang menjalani penggambaran drama untuk TV9. Walaupun pada awalnya saya bersetuju untuk ke Labuan pada waktu itu, namun produksi memilih untuk mempercepatkan tempoh penggambaran kerana sudah beberapa hari tertangguh akibat hujan.
“Jadi, nak atau tidak, saya terpaksa korbankan satu darinya. Saya terpaksa memberitahu perkara itu di saat akhir kerana saya sendiri tidak dimaklumkan lebih awal mengenai ‘cut down’ itu. Namun, saya tahu, ia adalah salah saya,” ujarnya.
Memandangkan ketika itu penggambaran dijalankan di Kuang, rangkaian telefon kurang elok dan Aiman meminta pembantunya untuk menjawab panggilan.
Bercadang untuk berjumpa dengan pihak yang terlibat, dia turut melahirkan rasa bersalahnya kerana mereka terdiri daripada kalangan rakan-rakannya.
Ha, baguslah kalau ada niat begitu. Tapi, kami tertanya-tanya juga, kenapa Aiman tidak memberitahu awal sebaik sahaja membuat keputusan itu dan kenapa juga harus menunggu sehingga dihubungi oleh orang lain?
Tak pasal-pasal mencipta lagi kontroversi baru…
Oleh: ELZA
0 comments:
Post a Comment