TANJUNG KARANG – Kelab Sukan dan Rekreasi Komuniti akan ditubuhkan di setiap kawasan parlimen tahun ini dalam usaha mengaktifkan kegiatan sukan di peringkat akar umbi.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kelab itu yang kini di peringkat akhir pelaksanaan menjadi platform terbaharu golongan muda untuk berkumpul dan menjalankan aktiviti sukan dan rekreasi yang menyihatkan.
“Kelab ini akan menyatukan rakyat melalui program sukan seperti futsal dan sepak takraw selain menjadi pencetus kepada agenda kementerian untuk menyemarakkan budaya sukarelawan di kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Futsal Endurance 1Malaysia anjuran Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno mengalu-alukan tindakan pimpinan parti di Selangor yang bertindak melarang anggotanya meneruskan rancangan untuk berhimpun bagi membantah penggunaan kalimah Allah di hadapan gereja-gereja di negeri itu, hari ini.
“Saya lihat tindakan Umno Selangor ini tepat sebab berdemonstrasi di hadapan gereja hanya akan mengapi-apikan keadaan,” katanya.
Sebelum ini beberapa cawangan Umno dan badan bukan kerajaan Islam di negeri Selangor merancang untuk mengadakan perhimpunan di hadapan gereja-gereja di negeri itu hari ini sebagai membantah kenyataan Pengarang Mingguan The Herald, Paderi Lawrence Andrew berhubung penggunaan kalimah ‘Allah’.
Pada 27 Dis lepas, Lawrence menerusi portal berita ‘The Malaysian Insider’ berkata gereja Katolik di Selangor akan terus menggunakan kalimah Allah dalam perhimpunan mingguannya yang menggunakan Bahasa Malaysia walaupun Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah menghantar notis peringatan mengenai larangan penggunaan kalimah itu oleh bukan Islam. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment