Tun Dr Mahathir Mohamad suka bercakap dengan wartawan dan meyakinkan rakyat, kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 23 Januari, 2014.
Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Zainuddin Maidin menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjadikan bekas bosnya Tun Dr Mahathir Mohamad seperti Lee Kuan Yew selepas bersara di Singapura supaya dapat kembali berkuasa dan berpengaruh.
Bekas menteri penerangan itu berkata, ketegasan Dr Mahathir dalam menangani isu ekonomi, agama dan hubungan antara kaum perlu dicontohi Najib.
"Najib boleh memimpin tetapi beliau memerlukan sokongan moral daripada Dr Mahathir untuk menguatkan kedudukan.
"Ia supaya terus dapat memimpin dan berjaya memulihkan keyakinan rakyat serta menangani isu semasa yang dibangkitkan mungkin di luar jangkaan," kata Zainuddin atau lebih mesra dengan nama Zam dalam satu wawancara bersama The Malaysian Insider.
Pentadbiran Najib selepas berakhir Pilihan Raya Umum 5 Mei berdepan dengan situasi paling genting, terdesak untuk memulihkan ekonomi serta pada masa sama perlu mengharmonikan semula hubungan antara kaum dan agama.
Hubungan antara kaum dan agama sejak Najib mengambil alih tampuk pemerintah berada pada tahap kritikal.
Pertikaian di antara kumpulan Islam dan bukan Islam berhubung isu kalimah Allah masih berlarutan.
Zainuddin yang juga seorang bekas wartawan mahu pentadbiran Najib lebih cepat dan menangani isu yang dibangkitkan sebelum ia melarat menjadi lebih buruk.
"Saya rasa Najib perlu menangani perkara-perkara yang rakyat tidak puas hati dengan pantas, cekap dan menyakinkan.
"Beliau mesti tidak biarkan tekanan tersebut berpanjangan, terutama daripada NGO. Tetapi sedangkan tindakan daripada kerajaan pun tidak kelihatan oleh rakyat, ini yang lebih banyak menghakis keyakinan rakyat," katanya.
Dalam isu kenaikan harga barang yang menyebabkan rakyat tidak berpuas hati dan marah, Zainuddin memahami sentimen yang dirasai rakyat bagaimanapun Najib dan kerajaannya tidak boleh mengendahkan perkara tersebut sebaliknya tindakan pemantuan tegas perlu diambil.
"Biasanya langkah yang melibatkan ataupun menyakitkan poket rakyat akan menimbulkan reaksi.
"Tetapi kalau rakyat dapat diyakinkan dengan tindakan yang berani umpamanya tindakan ke atas orang yang memainkan dan mengeksploitasi harga, terhadap tauke dan peniaga, maka rakyat akan faham," katanya mengulas isu kenaikan harga barang yang memberi kesan besar kepada rakyat biasa.
Kenaikan harga minyak, tarif elektrik, air dan gula mewujudkan kesan domino yang menyebabkan harga banyak barang lain turut meningkat.
Zainuddin yang juga bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia tidak bersetuju dengan sikap kerajaan yang ditadbir Najib kerana dilihat terlalu tunduk kepada pertubuhan bukan kerajaan sama ada pro-kerajaan atau pembangkang yang menunjukkan kelemahan kerajaan.
"Pendirian saya, permainan NGO ini, kadang-kadang saya rasa ia menampakkan kelemahan kerajaan.
"Sebab isu semuanya didedahkan yang kerajaan sendiri boleh bertindak tanpa membangkitkan sentimen orang Melayu," katanya merujuk kepada isu seperti Syiah, gereja dan penggunaan kalimah Allah.
Sementara itu, Zainudin juga membandingkan ketika era Dr Mahathir di mana menteri Kabinet pada ketika itu lebih efisien dan mampu menyakinkan rakyat.
"Banyak benda saya sebagai orang surat khabar nampak kelemahan tertentu.
"Setengah daripada mereka untuk bercakap dengan wartawan mereka takut. Itu anda tidak tahu, mereka takut. Berbanding semasa zaman Dr Mahathir, dia suka cakap dengan wartawan dan menyakinkan," katanya lagi mengimbau semasa era Dr Mahathir memerintah negara selama 22 tahun.
Zainuddin menyifatkan pentadbiran Najib dan menterinya terlalu mengambil sikap ambil mudah dan tindakan mengupah konsultan luar sebagai suatu yang tidak perlu.
"Kadang-kadang kita lihat, tak ada sense of urgency (Najib dan menteri Kabinetnya), kemudiaan jawapan yang tidak menyakinkan.
"Tetapi saya tidak fikir kerajaan memerlukan konsultan yang membayar berjuta ringgit untuk menasihati dan mempromosikan PM, sebab masa Dr Mahathir pun tidak sebanyak itu digunakan," katanya mengulas tentang konsultan yang dibayar oleh Putrajaya untuk memulihkan imej pentadbiran Najib.
Beliau juga mengesa kerajaan tidak berlebih dalam perbelanjaan dan lebih bersederhana, pada masa sama mendekati rakyat.
"Satu lagi, sikap kita tidak mendekati rakyat, tetapi adakah mereka faham atau Najib sendiri seorang elitis memahami pendekatan rakyat.
"Keadaan sudah berubah, walaupun saya sendiri rasa tidak kena tapi itulah realiti, kerajaan juga perlu bersederhana," katanya.
Najib mendapat mandat baru sejak menjadi perdana menteri pada 2009 selepas memenangi pilihan raya tahun lalu, bagaimanapun mandat yang diperolehnya tidak sebaik yang diharapkan.
Malah, pencapaian pada PRU13 adalah terburuk dalam sejarah dalam berbanding 2008.
Sejak itu, tekanan dan kritikan terhadap pentadbirannya semakin meningkat, malah pengkritik melihat bantahan tersebut merentas semua lapisan bukan sahaja di kalangan pembangkang tapi juga dalam Umno sendiri.
Kerusi di Parlimen jatuh daripada 140 kepada 133. Manakala bagi kerusi DUN, BN merosot daripada 306 kepada 274 walaupun dapat menawan semula Kedah dan mengesahkan penguasan ke atas Perak.- 23 Januari, 2013.
0 comments:
Post a Comment