KUALA LUMPUR – Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) meminta semua pihak menghormati peruntukan Perkara 4 dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai penyebar agama lain ke atas umat Islam di negara ini.
Presidennya, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, berdasarkan peruntukkan itu, pihak berkuasa agama berhak bertindak jika berlaku penyebaran agama lain ke atas umat Islam Malaysia.
Justeru, beliau meminta supaya tindakan untuk mempertahankan kalimah `Allah’ tidak terhad kepada peruntukkan undang-undang dan saluran mahkamah, sebaliknya mencari persepakatan semua pihak yang terlibat.
“Golongan ulama, ilmuan dan pihak berkuasa agama perlu menghentikan polemik terbuka, mengekang eksploitasi serta mendidik rakyat supaya saling menghormati hak antara agama dalam rangka Perlembagaan,” katanya melalui satu kenyataan media.
Mohd. Azmi seterusnya meminta isu penggunaan kalimah `Allah’ oleh penganut bukan Islam tidak lagi diperdebatkan secara terbuka kerana langkah itu didakwa bakal mengundang lebih banyak kekeliruan.
Beliau turut menegaskan isu itu yang telah diputuskan oleh pihak mahkamah dan titah Yang di-Pertuan Agong mengenainya sebelum ini sepatutnya menyebabkan isu itu tidak lagi berlarutan.
Mohd. Azmi turut mempertikaikan situasi bible berbahasa Melayu tidak boleh menggunakan kalimah Allah di Semenanjung tetapi dibolehkan di Sabah dan Sarawak yang dianggap uatu keputusan tidak bijak dan tidak praktikal.
“Apakah ada mekanisme untuk bible berbahasa Melayu yang berada di setiap rumah atau di setiap tangan orang bukan Islam di Sarawak dan Sabah disemak sama ada mempunyai kalimah `Allah’ atau tidak,” katanya
0 comments:
Post a Comment