KULIM – Disangkakan ubah suai motosikal menjadi scrambler dapat mengaburi mata pihak berkuasa, namun ternyata gagal apabila dikesan pasukan Jabatan Pencegahan dan Pembenterasan Jenayah (JPPJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.
Motosikal yang dinaiki seorang lelaki berusia 20an itu dikesan pasukan yang diketuai Inspektor Nor Faizal Mohamad.
Penahanannya juga membawa kepada pembongkaran kegiatan mencuri motosikal sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, polis membuat pemantauan sejak seminggu lalu sebelum mengenal pasti lokasi dan suspek terlibat.
Ketika serbuan dibuat, suspek yang menaiki motosikal Yamaha 125Z yang telah diubah suai menjadi scrambler cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya dipintas polis.
“Polis membuat serbuan kira-kira jam 12 tengahari semalam, suspek yang dilaporkan berada di satu tempat persembunyian keluar ke jalan utama sebaik ternampak polis, bagaimanapun berjaya ditahan.
“Kami kemudiannya membuat semakan terhadap nombor kad pengenalan suspek sebelum memeriksa nombor enjinnya yang mendapati motosikal itu dilaporkan hilang di Kulim. Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes ini akan disiasat dibawah seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.
Ghuzlan menasihatkan kepada orang ramai supaya jangan mudah terpedaya dengan aktiviti penjualan motosikal murah walaupun bagi tujuan sukan atau dijadikan kenderaan untuk pertanian.
Katanya, sekiranya pemeriksaan polis terhadap kenderaan itu mencurigakan atau ia merupakan kenderaan curi, mereka boleh ditahan untuk siasatan lanjut atau diambil tindakan.
“Kita percaya masih banyak lagi motosikal yang diubah suai ini terlibat dalam penggunaan alat ganti curi.
Saya meminta kepada mana-mana pemilik yang curiga dengan motosikal yang dibeli dengan harga murah dan tidak mempunyai geran supaya membuat semakan di mana-mana balai polis berhampiran.
Ini adalah kerana menggunakan atau menyimpan motosikal atau komponen curi merupakan satu kesalahan serius dan ia boleh di hukum dengan penjara,” katanya. – Sinar Harian
0 comments:
Post a Comment