WALAUPUN diselar banyak pihak, termasuk rakan-rakan dalam PR, Lim Guan Eng, terus bermuka selamba, dan mempertahankan logik pembelian Mercedes-Benz S300L untuk kenderaan rasmi beliau sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.
Dia tidak kisah apa orang kata, (kalau bahasa orang sekarang: “ada aku kisah!”) sebab menurutnya apa yang dilakukan itu tidak menyalahi mana-mana undang-undang. Faktanya:
Pertama, pembelian kenderaan mewah itu telah mendapat kelulusan mesyuarat Exco Negeri. Kedua, sebagai orang No.1 dia memang ada peruntukan untuk menggunakan kereta mewah.
Ketiga, kereta baru itu dibeli pada harga amat berpatutan. Walaupun harga sebenar RM657,218, setelah dikecualikan cukai dan potongan RM100,000, kerajaan negeri hanya membayar pada harga istimewa RM298,263.75. Pendek kata berbaloi-baloi!
Jadi dia tidak rasa bersalah sedikit pun, malah selesa bersandar di tempat duduk belakang kereta bergengsi itu. Dari segi undang-undang dan legal, semua tidak ada masalah.
MEMANG semuanya mengikut undang-undang. Dari segi legal Lim Guan Eng tidak salah membeli kenderaan mewah itu, walaupun beliau sudah ada kenderaan rasmi Toyota Camry 2.5 yang baharu beberapa bulan dibeli.
Namun, apa yang orang pertikai bukan soal legal, tetapi moral. Satu ketika dulu Guan Eng adalah orang paling lantang menghentam tindakan Kerajaan Negeri Terengganu membeli Mercedes sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar dan Exco.
Ini antara kenyataan beliau yang disiar sebuah media berbahasa Inggeris pada 25 Julai 2008:
“Adalah tidak wajar Kerajaan Negeri Terengganu membelanjakan RM3.42 juta untuk membeli 14 buah kereta Mercedes Benz E200 Kompressor, terutama pada ketika rakyat menderita kerana peningkatan kos hidup. Sepatutnya kita mengamalkan kesederhanaan.
“Ketua Menteri bagaimana pun setuju Mercedes Benz adalah lebih bermutu daripada Proton Perdana V6 Executive. Kos penyenggaraan Benz lebih murah…Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membatalkan tempahan lima Perdana bernilai RM600,000.
“Mereka (Terengganu) patut membeli Toyota, sebab lebih murah daripada Mercedes. Umno patut melaksanakan apa yang dikata, dan melihat perkara ini. Pemimpin mereka hidup lumayan, sedangkan rakyat menderita.”
Dulu Guan Eng tuduh Terengganu membazir kerana membeli Mercedes. Kini dia sendiri membeli Mercedes yang lebih besar, padahal seperti yang dikatakan oleh musuh politiknya, Pulau Pinang mengalami belanjawan defisit empat tahun berturut-turut.
Sepatutnya dalam keadaan defisit, tidak perlulah membeli kereta mewah. Maka tidak hairan sesetengah orang berkata Ketua Menteri Pulau Pinang itu telah menjilat ludahnya sendiri.
MENJILAT ludah sendiri? Tidak ada apa yang hendak dipelikkan. Dalam politik orang boleh dan biasa sangat menjilat ludah sendiri. Perkara yang hari ini tidak disetujui, esok atau lusa boleh dipersetujui.
Hari ini kutuk bagai nak rak mengenai sesuatu perkara, esok atau lusa apa yang dikutuk habis-habisan itu disokong pula macam tidak ada apa-apa. Hari ini musuh ketat, esok atau lusa menjadi sahabat paling kamceng.
Dalam politik tidak ada musuh kekal, tidak ada kawan kekal. Jangan kata menjilat ludah, menjilat punggung pun tidak mengapa asalkan ada faedah diri. Dalam politik semuanya serba mungkin.
Sebab itu ada andaian kalau tidak sanggup hipokrit jangan main politik, mainlah benda lain. Kalau tidak sanggup jilat ludah atau jilat punggung, jangan masuk politik. Betullah politik itu kotor.
AKHIR kalam, baru beberapa hari tahun baharu 2014, orang ramai sudah melihat gelagat sesetengah peniaga yang menaikkan harga barangan keperluan harian mengikut suka hati.
Cili, bawang, halia, kunyit dan lain-lain yang dijual di pasar naik sehingga 50 peratus. Walaupun pengguna mengeluh – sudah banyak kali mengeluh – setakat ini belum ada tindakan daripada pihak berkuasa untuk mengajar peniaga yang menghisap darah. Siapa tidak sakit hati apabila ikan kembung, makanan rakyat biasa, yang biasanya antara RM8 hingga RM10, tiba-tiba naik menjadi RM16 per kilo.
Ada orang senang dan megah bersandar di belakang kenderaan mewah berharga RM600,000. Ada juga orang terlampau banyak duit membeli sebuah apartmen mewah di luar negara bernilai lebih RM100 juta. Tetapi, bagi orang biasa hendak beli kembung RM16 sekilo pun susah. Fikir, dan insaflah! – Sinar Harian Online
TOK PERAK
0 comments:
Post a Comment