KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Serdang daripada parti DAP, Dr. Ong Kian Ming mengecam tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas sebanyak 351 naskhah Bible versi bahasa Melayu dan bahasa Iban di premis Persatuan Bible Malaysia di Petaling Jaya, Selangor semalam.
Beliau mendakwa, JAIS tidak mempunyai sebarang bukti yang menunjukkan penggunaan Bible versi bahasa Melayu atau penggunaan masa Melayu dalam ibadat Kristian bertujuan menyebarkan agama itu dalam kalangan umat Islam di Malaysia.
“Pada tahun 2012, Persatuan Bible Malaysia menyambut ulang tahun ke-400 Bible berbahasa Melayu. Salah satu acara yang dianjurkan adalah majlis makan malam kesyukuran dengan ratusan salinan Bible berbahasa Melayu yang telah ‘disimpan’ oleh kastam pada tahun 2011 diberikan kepada para hadirin.
“Saya mempunyai satu salinan itu di rumah saya di Petaling Jaya yang dicapkan dengan perkataan “Peringatan – Bible ini untuk kegunaan penganut Kristian sahaja – dengan perintah Menteri Dalam negeri 16 Mac 2011″. Penganut Kristian telah menggunakan perkataan-perkataan ini dalam lagu-lagu ibadat, dalam solat, dalam khutbah dan dalam Bible berbahasa Melayu bertahun-tahun tanpa mengganggu keharmonian dengan jiran dan kawan beragama Islam,” dakwanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Kian Ming turut mendakwa, penganut Kristian tidak tertakluk kepada Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam, 1988) oleh kerana Perkara 11 (3) dalam Perlembagaan Persekutuan melindungi hak setiap kumpulan agama untuk menguruskan hal ehwal sendiri termasuk kegunaan perkataan tertentu dalam kitab masing-masing.
Justeru dakwanya, pencerobohan premis Persatuan Bible Malaysia oleh JAI semalam merupakan satu tindakan yang melanggarkan hak-hak perlembagaan persatuan berkenaan.
“JAIS perlu menghentikan dengan segera serbuan sebegini. Jika dilakukan secara keterlaluan, adakah JAIS akan serbu semua gereja di Selangor yang mengadakan ibadat dalam bahasa Melayu.
“Adakah JAIS akan serbu semua kediaman orang Kristian yang disyaki mempunyai Bible berbahasa Melayu termasuk kediaman saya sendiri.Ini adalah tingkah laku yang tidak boleh diterima dalam masyarakat berbilang agama seperti Malaysia di mana kebebasan beragama dilindungi di bawah Perkara 11 dalam Perlembagaan Persekutuan,” dakwanya.
0 comments:
Post a Comment