Polis berjaya menahan seorang pengangur berusia 27 tahun yang dipercayai terbabit membakar seorang ibu tunggal dan anaknya yang berusia 18 bulan di sebuah unit pangsapuri di Desa Rejang, Setapak Jaya, Wangsa Maju, pagi semalam.
Lelaki berkenaan ditahan pukul 3 pagi tadi di Taman Desa Bernam Indah, Hutan Melintang.
Ketika penahanan dilakukan, polis turut menemui 2.15 gram ganja dalam sebuah beg miliknya, kata Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur, ACP Khairi Ahrasa pada sidang media hari ini.
Menurut beliau, suspek turut mempunyai rekod pemilihan dadah lampau.
“Dia akan melalui ujian bagi menentukan sama ada dia berada di bawah pengaruh dadah atau tidak,” katanya.
Menurut salah seorang jiran di tempat kejadian semalam, dia melihat seorang lelaki memasuki unit yang didiami oleh Sarliza Saidin, 29, bersama anaknya yang berusia 18 bulan serta ibunya, berusia sekitar 40 hingga 50 tahun.
Lelaki tersebut dipercayai mengunci grill pintu dari luar sebelum mencurah petrol di sekelilingnya dan menyalakan api.
Laporan mengenai kebakaran itu diterima oleh pihak Bomba dan Penyelamat sekitar jam 1.25 petang yang kemudiannya bergegas ke tempat kejadian bersama-sama 41 anggota.
Kebakaran tersebut berjaya dikawal dalam masa setengah jam.
Sarliza dilaporkan melecur kira-kira 80 peratus pada tubuhnya, manakala bayinya, 50 peratus. Ibunya pula mengalami lecur kira-kira 10 peratus.
Kesemua mereka bagaimanapun dilaporkan stabil.
Tambah Khairi, suspek direman sehingga 29 Januari ini bagi membantu menyelesaikan kes.
“Siasatan awal mendapati, suspek dan mangsa pernah berkawan selama enam bulan, saksi kejadian memberitahu pasangan berkenaan bagaimanapun kerap bergaduh.
“Suspek dikatakan sering meminjam wang Saliza,” katanya.
Jelas beliau, kegagalan mendapatkan wang dipercayai menjadi punca suspek membakar Saliza dan ahli keluarganya yang lain semalam.
Kes jelas beliau disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana memulakan kebakaran dengan sengaja dan Seksyen 307 kerana cubaan membunuh.
0 comments:
Post a Comment