Kolkata – Seorang remaja India dirogol beramai-ramai di dalam dua kejadian serangan berasingan dan mati selepas dibakar hidup-hidup, mencetuskan bantahan di Kolkata di timur India semalam, kata polis semalam.
Remaja berusia 16 tahun itu pertama kali diserang pada 26 Oktober dan sekali lagi pada hari berikutnya oleh sekumpulan enam lelaki berhampiran rumahnya di bandar Madhyagram, 25 kilometer ke utara Kolkata.
Kejadian rogol kedua berlaku ketika beliau pulang ke rumah selepas melaporkan serangan pertama di sebuah balai polis.
Beliau kemudian dibakar pada 23 Disember dan mati di sebuah hospital kerajaan lewat malam tahun baru, kata polis.
“Beliau mengakui di hadapan pegawai kesihatan beliau dibakar oleh dua orang yang ada kaitan dengan dakwaan ketika bersendirian di rumah pada 23 Disember,” kata polis tempatan, Nimbala Santosh Uttamrao.
Penahanan pertama
Polis membuat penahanan pertama pada Rabu, dua bulan selepas kejadian jenayah awal, kata ketua polis tempatan, Rajiv Kumar.
“Suspek cuba membunuh anak perempuan saya dengan membakarnya untuk menutup jenayah mereka,” kata bapa mangsa, seorang pemandu teksi dari negeri miskin India, Bihar.
Semua nama mangsa dan bapanya tidak didedahkan atas alasan perundangan.
Beratus-ratus aktivis melakukan bantahan di Kolkata pada Rabu berikutan jenayah itu yang mengejutkan selepas setahun kejadian jenayah seksual dilaporkan meluas di India.
Kejadian rogol, serangan dan penganiayaan terhadap wanita di India menjadi perhatian sejak 12 bulan lalu selepas sekumpulan lelaki merogol seorang pelajar berusia 23 tahun dalam sebuah bas yang bergerak di New Delhi pada Disember 2012, sehingga mencetuskan kemarahan di seluruh negara.
Parlimen sejak itu meluluskan undang-undang lebih tegas untuk menghukum perogol.
Aktivis berkata mangsa rogol di India sering berhadapan dengan ancaman serius daripada penyerang mereka manakala pihak polis sering kali tidak menggalakkan mangsa untuk membuat laporan. – AFP
0 comments:
Post a Comment