Prague – Duta Palestin ke Republik Czech terbunuh semalam dalam satu letupan yang berlaku ketika beliau membuka sebuah peti keselamatan lama yang tidak pernah terusik sejak lebih 20 tahun, kata pihak berkuasa.
Jamal al-Jamal, 56, berada di rumah bersama keluarganya ketika letupan, kata jurucakap Kedutaan Palestin, Nabil El-Fahel.
Penyiasat Palestin dan Republik Czech kini menyiasat punca kematian beliau yang dianggap misteri.
“Al-Jamal cedera parah dan dikejarkan ke sebuah hospital sebelum beliau disahkan meninggal dunia,” kata jurucakap polis, Andrea Zoulova.
Menteri luar Palestin, Riad Malki berkata tiada perbuatan khianat disyaki dan menjelaskan bahawa peti terbabit ditinggalkan tanpa pernah terusik sejak lebih 20 tahun lalu.
Pintu peti keselamatan itu dipercayai dipasang dengan jerangkap samar, kata Zoulova. Tidak diketahui bagaimana Jamal cuba membukanya atau jenis peti terbabit.
Peti berkenaan baru-baru ini dipindahkan dari bangunan lama kedutaan tetapi ia adalah daripada sebuah bangunan yang digunakan untuk menempatkan pejabat Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) pada 1980-an, kata Malki.
“Duta terbabit memutuskan untuk membukanya. Selepas beliau membukanya, ada sesuatu di dalam dan ia meletup,” kata Malki kepada Associated Press.
Tidak diketahui dengan jelas bagaimana Malki mengetahui peti itu tidak pernah diusik sejak lebih 20 tahun dan bila ia dipasang dengan jerangkap samar.
Konflik Asia Barat
Ketika 1980-an sebelum kejatuhan Kesatuan Soviet, PLO mempunyai hubungan rapat dengan negara blok Barat. Sejak beberapa tahun, hubungan menjadi tegang dan kerajaan Czech dilihat sebagai berpihak kepada Israel dalam konflik Asia Barat, kata veteran hal ehwal asing, Nabil Shaath dan ketua Pergerakan Fatah Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
“Peti keselamatan terbabit terbiar di satu kawasan di kedutaan lama. Ia berada di satu sudut. Tiada siapa pernah menyentuhnya selama 20 hingga 25 tahun,” kata Malki.
Kedutaan baru-baru ini berpindah ke sebuah kompleks baru.
“Al-Jamal mahu mengetahui apa dalam peti terbabit,” kata Malki. “Beliau membukanya dan meminta isterinya membawa sekeping kertas dan pen untuk menulis kandungan dalam peti terbabit. Isterinya meninggalkan beliau untuk mengambil pen dan kertas. Ketika itu beliau terdengar bunyi satu letupan. – AP
0 comments:
Post a Comment