KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ong Ka Chuan dilantik sebagai setiausaha agung MCA yang baharu manakala Ketua MCA Bahagian Teluk Intan Datuk Seri Kuan Peng Soon sebagai bendahari agung MCA.
Anggota Parlimen Tanjung Piai Datuk Wee Jeck Seng pula dilantik sebagai timbalan setiausaha agung parti, Ketua MCA Bahagian Titiwangsa Datuk Alex Chuah Poh Kiang sebagai timbalan bendahari agung manakala bekas Naib Ketua Pemuda Datuk Yoo Wei How pula sebagai setiausaha organisasi kebangsaan MCA.
Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai ketika mengumumkan pelantikan itu berkata Wee turut dilantik menganggotai jawatankuasa pusat parti.
Ong, anggota Parlimen Tanjung Malim pernah memegang jawatan setiausaha agung parti dan sebelum pemilihan terbaharu, merupakan anggota jawatankuasa pusat MCA.
“Semua pemimpin dan anggota parti perlu kembali sebagai satu pasukan bagi menumpukan kepada usaha mentransformasi parti selepas mengalami kekalahan teruk pada Pilihan raya Umum ke-13 (PRU13),” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA pertama selepas pemilihan semula kepimpinan pusat pada 21 Dis lepas, di Wisma MCA di sini.
Selain Wee, empat lagi anggota jawatankuasa pusat yang baharu ialah Ketua MCA Bahagian Wangsa Maju Datuk Yew Teong Look, Ketua Bahagian Jasin Koh Chin Han, bekas Ketua Pemuda MCA Sabah Chew Kok Woh dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri Wong Nai Chee.
Liow turut mengumumkan pelantikan pengerusi perhubungan negeri MCA dan anggota Lembaga Disiplin parti itu.
Pengerusi perhubungan negeri yang baharu ialah Datuk Chua Tee Yong (Perlis), Datuk Lee Chee Leong (Kedah), Datin Paduka Chew Mei Fun (Pulau Pinang), Datuk Dr Mah Hang Soon (Perak), Liow (Selangor dan Melaka), Yew (Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Wee Ka Siong (Negeri Sembilan dan Johor), Datuk Hoh Khai Mun (Pahang), Datuk Toh Chin Yaw (Terengganu), Datuk Hou Kok Chung (Kelantan) dan Wilfred Yong Chen Leong (Sabah).
Liow berkata kedudukannya menerajui MCA Selangor dan Wee di MCA Johor adalah tetap manakala kedudukannya memimpin Melaka dan Wee di Negeri Sembilan hanya sementara bagi ‘menstabilkan’ keadaan di kedua-dua negeri itu.
Beliau turut mengumumkan lima anggota Jawatankuasa Disiplin parti, dengan bekas Naib Presiden Datuk Seri Chor Chee Heung sebagai pengerusi dan timbalan Datuk Lim Si Cheng.
Anggota lain ialah Datuk Wong Kam Hong, Datuk Leong Tang Chong dan Tan Kok Hong.
Dalam Majlis Presiden pula, selain presiden, timbalan presiden, empat naib presiden, setiausaha agung, setiausaha organisasi kebangsaan, ketua pemuda dan ketua wanita parti, tujuh anggota baharu turut dilantik.
Mereka adalah Timbalan Setiausaha Organisasi Kebangsaan Datuk Chai Kim Seng dan Ketua MCA Bahagian Penampang Datuk Paul Kong Sing Chu, selain lima anggota jawatankuasa pusat yang terdiri daripada Wee, Chuah, Mah, Wong dan Hoh.
Liow berkata mesyuarat selama tiga jam itu turut bersetuju menubuhkan lapan jawatankuasa khas untuk mentransformasi parti, 13 biro dan dua pasukan tugasan khas yang terdiri daripada Undang-undang Syariah dan Pelaksanaan dasar serta isu-isu antarabangsa.
“Lapan jawatankuasa transformasi parti itu terdiri daripada pembangunan politik, perundingan pendidikan, persediaan menghadapi PRU14, perhubungan pertubuhan Cina, kajian dan perancangan strategik, ekonomi, sosial, dan penyusunan semula organisasi parti,” katanya.
Selain itu, Liow juga mengumumkan pengwujudan ketua staf pejabat presiden ‘ yang bertanggungjawab membantu beliau dalam mengeluarkan kenyataan terhadap pelbagai isu semasa.
Ditanya mengenai keputusan parti untuk mengadakan satu lagi Mesyuarat Agung Tergempar (EGM) bagi menerima jawatan dalam kabinet, Liow berkata keputusan itu akan dibawa kepada mesyuarat Majlis Presiden yang akan diadakan tidak lama lagi.
“Kami akan membincangkannya dalam mesyuarat Majlis Presiden dan akan memaklumkannya kemudian,” katanya.
Beliau berkata MCA akan menganjurkan seminar mengenai Pelan Transformasi Parti di Wisma MCA di sini pada 16 hingga 18 Jan bagi mendapatkan pandangan daripada perwakilan untuk mengukuhkan dan mempercepatkan proses transformasi parti. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment