GEORGETOWN – Tiga lelaki dipercayai rakyat asing bersenjatakan pisau pemotong daging memecah masuk sebuah rumah di Lintang Pekaka 5, Gelugur di sini awal hari ini dan melarikan beberapa barang berharga.
Kejadian dilapor pukul 4 pagi ketika pasangan suami isteri berusia dalam lingkungan 60-an itu sedang tidur.
“Tiga lelaki terbabit mengikat dan mengurung pasangan itu di sebuah bilik sebelum menyelongkar seluruh rumah dan melarikan wang tunai RM300, telefon bimbit dan jam tangan,” kata jurucakap polis.
Beliau berkata siasatan awal mendapati ketiga-tiga lelaki bertopeng itu memasuki rumah itu melalui pintu gelangsar selepas mengumpil jeriji besi pintu itu.
Pasangan yang hanya tinggal berdua di rumah itu membuat laporan polis selepas mereka berjaya melepaskan diri, kata jurucakap itu.
“Mangsa mendakwa suspek kemungkinan rakyat Vietnam berdasarkan cara percakapan mereka, selain mata suspek yang dilihat agak sepet,” katanya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata polis sedang memburu kumpulan terbabit. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment