PELABUR bagi pihak kerajaan, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) melaksanakan 14 pelaburan bernilai RM6.7 bilion serta enam pelupusan saham dengan untung sebanyak RM682 juta sepanjang tahun lalu.
Sejak 2004 sehingga 2013, Khazanah telah melaksanakan 109 pelaburan bernilai RM58.1 bilion dan melakukan 61 pelupusan yang telah menghasilkan keuntungan RM16.4 bilion.
Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, tahun lalu mencatatkan pencapaian membanggakan termasuk prestasi operasi yang lebih baik dengan hampir kesemua syarikat di bawah Khazanah berjaya menembusi pasaran serantau termasuk IHH Healthcare Bhd, projek pemangkin Iskandar Malaysia serta pelaburan bersama di Singapura.
“Pembukaan pejabat luar negara Khazanah di San Francisco (Amerika Syarikat) dan Istanbul (Turki) juga melengkapkan perluasan kami di luar negara.
"Khazanah kini memiliki lima pejabat secara keseluruhan termasuk di Kuala Lumpur, Beijing (China) dan Mumbai (India),” katanya semasa pengumuman penilaian tahunan Khazanah ke-10 di Kuala Lumpur, semalam.
Menurutnya, tahun ini, Khazanah akan memberi tumpuan kepada empat sektor iaitu sains hayat, teknologi, kreatif dan taman tema.
Sementara itu, Azman berkata, Khazanah turut yakin tujuh syarikatnya akan menamatkan tempoh transformasi dengan cemerlang menjelang 2015.
Syarikat itu adalah Telekom Malaysia (TM), Kumpulan Axiata, Kumpulan CIMB, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Malaysia Airports Holdings Bhd, UEM Sunrise Bhd dan Penerbangan Malaysia.
Mengulas berhubung nilai portfolio Khazanah, Azman berkata ianya meningkat 19.1 peratus tahun lalu, dan mencatatkan peningkatan tiga kali ganda kepada RM103.5 bilion sejak Mei 2004.
Pencapaian itu kebanyakannya disumbangkan oleh pegangan Khazanah dalam sektor telekomunikasi iaitu TM dan Axiata sebanyak RM21.3 bilion diikuti UEM Group Bhd (RM15.8 bilion), TNB (RM12.8 bilion), CIMB (RM11.6 bilion) dan sektor penjagaan kesihatan (RM8.6 bilion).
0 comments:
Post a Comment