KUALA LUMPUR – Pimpinan tinggi pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan PAS akan lebih kerap berkunjung ke Johor selepas sambutan Tahun Baru Cina ini dalam usaha mereka menawan negeri tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Penasihat DAP, Lim Kit Siang mendakwa, para pemimpin PKR, PAS dan DAP akan turut menggerakkan beberapa strategi penting untuk menjadikan Johor sebagai negeri yang diberi keutamaan oleh pakatan pembangkang untuk dimenangi dalam pilihan raya umum itu.
“Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan Timbalannya, Mohamad Sabu akan melawat Johor bagi menyertai seminar kerjasama kepimpinan pakatan pusat dan negeri pada 24 Februari ini.
“Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin DAP lain akan memberi tugasan khas di serata Johor untuk membantu pemimpin DAP negeri untuk mencapai misi menawan Putrajaya pada PRU14. Saya sendiri berharap dapat melawat semua 26 kawasan Parlimen dan 52 DUN di Johor dalam tahun ini,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Kit Siang seterusnya meminta pakatan pembangkang Johor melaksanakan tiga strategi iaitu mengukuhkan kerusi Parlimen dan DUN dimenangi, memberi tumpuan terhadap lapan kerusi marginal Parlimen dan DUN milik Barisan Nasional (BN) serta mewujudkan jawatankuasa PRU14 di 13 kerusi Parlimen dan 26 kerusi DUN milik BN.
Menurutnya, langkah itu untuk memastikan kerusi yang dikuasai BN itu bukan sahaja tidak mudah untuk dipertahankan oleh parti itu dan juga berupaya dimenangi oleh pakatan pembangkang pada PRU14
0 comments:
Post a Comment