Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, January 29, 2014

No Comment
Unit Polis Syarie akan menambah beban dan tekanan kepada polis, kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan. Gambar fail.
Penubuhan Unit Polis Syarie melalui kerjasama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah cubaan untuk menambahkan beban kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Musa berkata, apa yang lebih diperlukan sekarang ini adalah pasukan polis bantuan kerana proses penguatkuasaan dan perundangan Islam sememangnya dipikul oleh pihak berkuasa agama di peringkat negeri.

"Penubuhan unit itu sebagai satu cubaan menambah beban dan tekanan kepada polis sedangkan tanggungjawab sedia ada masih belum terlaksana," katanya kepada The Malaysian Insider.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustafa sebelum ini berkata, penubuhan Unit Polis Syarie akan dimuktamadkan selepas perbincangan mengenai skop tugas dan bidang kuasanya selesai tidak lama lagi.

Beliau berkata, perbincangan antara Jakim, KDN dan PDRM akan dijalankan dalam masa terdekat bagi menubuhkan unit itu secara berperingkat.

Musa berkata, polis sememangnya memberi bantuan kepada jabatan agama Islam negeri apabila diperlukan dan apa yang dikehendaki oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah unit polis bantuan dan bukannya polis syarie.

“Jika untuk membantu polis, sekarang ini pun mereka bantu. Kalau disebut polis bantuan, tidak mengapa.

“Ini bermakna jika diwujudkan polis bantuan di bawah jabatan agama Islam. Setiap negeri akan ada. Bukan polis biasa,” katanya.

Ahmad Zahid pada Isnin berkata, penubuhan Unit Polis Syarie bertujuan membantu pihak berkuasa agama negeri untuk menangani ajaran sesat.

Katanya, penubuhan unit itu bukan bertujuan mengambil alih kuasa jabatan agama negeri sebaliknya hanya membantu proses penguatkuasaan undang-undang.

"Tujuan Jakim dan KDN tubuhkan polis syarie adalah untuk membantu pihak berkuasa negeri dalam penguatkuasaan undang-undang terutamanya menangani ajaran sesat dan juga beberapa perbuatan jenayah syarie," katanya.

Ahmad Zahid berkata, Jakim dengan kerjasama kerajaan negeri hanya bertindak sebagai penyelaras bersama PDRM.

"Kalau diminta pihak berkuasa negeri kita akan laksanakan. Selama ini jabatan agama mungkin minta tolong polis, sekarang ini kita ada polis khas," katanya.

Ahmad Zahid berkata, KDN akan mendapat persetujuan Jakim untuk menubuhkan unit itu, yang antara lain, akan mempunyai anggota polis berkelulusan ijazah dan sarjana untuk ditempatkan di Jakim namun tarikh pelaksanaannya belum ditetapkan.

"Umat Islam di Malaysia kini berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya penggunaan kalimah Allah oleh Kristian, fahaman Syiah, ajaran sesat dan tuntutan keterlaluan oleh Gabungan NGO Hak Asasi Manusia (Comango),” katanya.

Musa berkata, polis adalah sebuah agensi di bawah kerajaan persekutuan dan penguatkuasa agama boleh menjalankan penguatkuasaan berdasarkan enakmen agama Islam negeri.

“Polis merupakan satu agensi di bawah kerajaan persekutuan. Manakala undang-undang Syariah adalah di bawah kuatkuasa pentadbiran negeri.

“Kebiasaannya kita mempunyai penguatkuasa jabatan agama Islam. Itu sahaja. Tidak perlu polis Syariah. Ia juga tertakluk kepada sultan,” katanya.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari sebelum ini membidas cadangan Ahmad Zahid itu dan berkata, penubuhan Unit Polis Syarie adalah bukan tanggungjawab polis sebaliknya polis perlu memberi lebih fokus kepada menjaga ketenteraman awam.

Tun Dr Mahathir Mohamad semalam turut menolak cadangan penubuhan unit itu kerana ia tidak akan dapat menyelesaikan masalah umat Islam di Malaysia.

Bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu berkata, Islam juga tidak memaksa umatnya untuk melakukan sesuatu ibadah dan apa yang paling penting adalah kepercayaan dan keimanan.

"Tidak ada paksaan dalam Islam. Janganlah kita jadikan agama Islam agama 'Police State’,” katanya. – 29 Januari, 2014.

0 comments:

Post a Comment