Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, January 29, 2014

No Comment

KEPADA pembaca budiman yang sah tidak pernah kena tipu walau sekali pun seumur hidup, terimalah tabik saya.

Saya kagum dengan anda kerana, setahu saya, di muka bumi ini, selagi ada bulan, bintang dan matahari, selagi itulah wujud penipuan dan segala yang berkaitan dengannya.

Sebab itu sana sini kita dengar cerita pasal tipu, tidak kira melibatkan hutang, pelaburan, perniagaan atau apa-apa pun. Natijahnya, di mana ada manusia, di situ ada kepalsuan dan penipuan.

Betullah seperti lirik lagu Allahyarham P Ramlee daripada filem Bujang Lapok (1957): ‘Dunia ini hanya palsu. Manusia berdusta. Kebanyakan suka menipu. Gemar membuat dosa...’

Benar, dosa pahala bukan persoalannya. Di mana ada wang di situ ada ruang penipuan.

Kalau kata ramai dalam kalangan kita gullible (mudah terpedaya), nanti ada yang marah, tapi apa lagi perkataan lebih sesuai?

Ikuti sahaja kes gores dan menang (G&M). Tak tahulah entah sudah berapa puluh kali kita dengar dan baca kisah orang hilang ribu-ribu ringgit melalui aksi silap mata sindiket G&M.

Bukan sekadar di tepi jalan atau di warung, malah ejen G &M berani muncul di pintu rumah untuk memikat dan menjerat mangsa.

Kesian pula tengok gambar seorang disyaki staf sindiket G&M tertiarap pengsan selepas dipelangkung sekumpulan 30 orang yang berang kerana ahli keluarga mereka ditipu melalui proses G&M dekat Seremban.

Itulah dia! duit punya pasal, ada yang sanggup kena belasah sampai cedera dan pengsan.

Ini bukan kes pertama. Di Negeri Sembilan sahaja, 129 penipuan didaftar di bawah Tuntutan Tribunal sepanjang 2013 dengan nilai tuntutan RM1.22 juta.

Itu cerita sebuah negeri. Bayangkan jumlah kes penipuan dan nilai tuntutan di 14 negeri.

Tetapi, seperti kes rasuah juga, manusia, yang membuat tawaran dan menerimanya, masih ramai dan tidak serik.

Apa pun sebabnya, kegiatan seperti itu perlu dihentikan segera, sebelum lebih ramai mangsa kena tipu dan suspek kena pelangkung.

Kata dulang paku serpih. Saya sendiri pun pernah dua kali didatangi ejen G&M.

Kali pertama seorang perempuan muda datang depan muka pintu, keluarkan kad G&M dan suruh saya gores.

Tak sempat saya tengok hasil goresan itu, perempuan kurus itu sudah melompat-lompat macam kena rasuk depan saya.

“Encik, you sudah menang keleta Waja. Mesti belanja saya makan tau!.”, katanya, menyeringai. Lakonan yang baik.

Saya tanya: “Saya yang menang, awak lompat pasal apa?”.

Dipendekkan cerita, saya dapat nombor telefon bosnya. Bila saya cuba hubungi, tiada respons.

Seorang lagi ejen, lelaki muda. Dia agak bengang sebab desakannya supaya saya gores kad saya tak layan.

Akhirnya saya yang bengang dan buat-buat telefon polis. Dia terus cabut. Padan muka.

Kalau saya kurang bertegas, barangkali saya pun terjerat.

Seorang kawan pernah hilang beribu ringgit selepas dijanjikan sindiket G&M mendapat dua kenderaan bernilai lebih RM100,000 setiap sebuah, dengan membayar RM30,000 sahaja. Tak masuk akal langsung!

Akhirnya duit sendiri lesap, kereta entah ke mana, dia panas punggung dikejar ah long.

Bukan sahaja G&M, dalam banyak hal lain pun, sebahagian daripada kita selalu biar diri terpedaya dan terjerat dalam unsur penipuan dan putar-belit.

Seorang lagi kawan saya hantar kereta ke bengkel. Kata mekanik: “Ini kena overhaul, siap RM1,500.

Nasib dia baik kerana selepas menceritakan perkara itu, saya bawanya ke bengkel seorang rakan. Dia hanya bayar RM300. Lega!

Pada satu ketika, enjin kereta saya panas di lebuh raya.

Seorang lelaki beruniform muncul dan menawarkan diri untuk ‘membantu’ bawa kereta ke bengkel di Nilai, sedangkan bandar terdekat ketika itu ialah Puchong.

Saya sudah kerap dengar cerita putar-belit seperti ini daripada rakan-rakan. Jadi saya tunggu sahaja hingga enjin sejuk dan pandu perlahan-lahan ke destinasi.

Baru-baru ini saya jumpa seorang wakil syarikat pelancongan yang menawarkan khidmat umrah selama 10 hari dengan kos RM3,700 sahaja.

Melihat air muka wakil itu dan setelah mendengar penerangannya, saya percaya dia bukanlah wakili syarikat ‘fly by night’, tetapi disebabkan banyak sangat cerita orang kena tipu dan penerbangan ditangguh atau dibatalkan, saya turut rasa curiga.

Itulah masalahnya; kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

Yang tidak bertanggungjawab hanya sekelumit, tetapi ramai yang tidak berdosa turut kena tempias.

0 comments:

Post a Comment