Kini Siakap Keli boleh didapati di Play Store! Dapatkan sekarang untuk Smartphone anda. Saya mahu!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pages


Wednesday, January 29, 2014

No Comment

BAU (Sarawak) – Anggota Dewan Undangan Negeri Bengoh Datuk Dr Jerip Susil menggesa Jabatan Perhutanan Sarawak dan polis agar mengambil tindakan segera dan tegas terhadap syarikat serta individu yang terbabit dalam pembalakan haram tanah Hak Adat Pribumi (NCR) di Krokong dan Zringgus di sini.

Jerip, yang juga menteri muda kesihatan awam, berkata beliau mendapat pengesahan bahawa akviti pembalakan itu adalah haram selepas menyemak dengan Jabatan Perhutanan.

“Saya diberitahu tiada lesen dikeluarkan kepada mana-mana syarikat untuk menjalankan kerja pembalakan di kawasan hutan itu. Oleh itu, mustahak bagi agensi penguatkuasaan (jabatan perhutanan dan polis) bertindak segera untuk menghentikannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penduduk di 12 kampung membantah aktiviti pembalakan di tanah NCR kepunyaan mereka sebab mereka tidak mahu kegiatan itu menjejaskan hutan yang menjadi sumber makanan dan pendapatan mereka.

“Mereka tidak mahu hutan terjejas memandangkan adanya sungai untuk mereka mendapatkan bekalan ikan dan tempat untuk mereka memburu haiwan. Sungai di dalam hutan akan turut dimajukan dengan program Tagang (pembiakan ikan),” katanya.

Sekumpulan penduduk dari 12 kampung di kawasan Krokong dan Tringgus mengadakan demonstrasi aman pada Selasa diketuai Penghulu Dihoi Nyawen untuk membantah pembalakan itu.

Dihoi berkata pencerobohan kawasan hutan itu adalah bagi kali keempat, dengan kali pertama pada 1998, kedua 2000 dan ketiga 2011.

“Tiga pencerobohan sebelum ini diselesaikan dengan baik dan Jabatan Perhutanan malah membatalkan lesen pembalakan yang dikeluarkan kepada sebuah syarikat pada Ogos 2012 tetapi entah bagaimana syarikat lain pula meneruskan aktiviti haram itu,” katanya.

Beliau berkata pencerobohan terkini dikesan pada 21 Jan, dan laporan polis dibuat oleh seorang anggota Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung, Kampung Tringgus, di Ibu Pejabat Polis Daerah Bau pada 25 Jan.

Dihoi berkata beliau mengesyaki beberapa individu tempatan menjadi dalang di sebalik pembalakan haram itu.

Beliau berkata 12 kampung itu menyerahkan memorandum kepada Jabatan Perhutanan tahun lepas, meminta jabatan itu supaya tidak membenarkan tanah NCR mereka dijadikan kawasan pembalakan bagaimanapun tiada jawapan diterima sehingga sekarang.

“Kami membantah keras sebarang bentuk pembalakan di hutan yang merupakan tanah NCR kami sebab ia akan mencemarkan alam sekitar dan sungai.

“Kawasan inilah tempat penduduk kampung memburu haiwan untuk dimakan selain menangkap ikan. Potensi pelancongan juga ada di sini,” kata Dihoi. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment