KUCHING — Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) melantik dua anggota berbeza anutan untuk mempengerusikan biro agama sayap itu.
Setiausahanya Nancy Shukri berkata pelantikan Anggota Dewan Undangan Negeri Lingga, Simoi Peri yang beragama Islam dan Esther Balan (penganut Kristian) adalah sejajar dengan kesungguhan parti itu untuk memelihara perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum dan agama di Sarawak.
“Ketika isu kalimah Allah dan rampasan kitab injil bahasa Malaysia oleh Jabatan Agama Islam Selangor menjadi topik hangat di Semenanjung, sayap Wanita PBB di Sarawak mengambil langkah segera (melantik pengerusi bersama biro agama) untuk memperkukuhkan lagi keharmonian masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya semangat perpaduan yang kukuh di Sarawak menjadi contoh terbaik konsep 1Malaysia dan perkara itu diakui sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Nancy berkata pelantikan Simoi dan Esther dilihat mampu memastikan objektif memperkasakan lagi keharmonian sedia ada di Sarawak tercapai.
Menurutnya kedua-dua pengerusi tersebut masing-masing akan mengawal selia hal ehwal berhubung agama serta menyusun atur strategi dan langkah terbaik bagi memastikan perpaduan kaum di peringkat akar umbi terus dipelihara dan dimantapkan.
Biro Agama Wanita PBB katanya berkonsepkan hubungan antara agama yang meletakkan nilai-nilai murni sejagat yang dikongsi dalam setiap agama. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment