JOHOR BAHARU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mewujudkan laman sesawang untuk membantu ibu tunggal khusus di Johor mendapat maklumat berkaitan bantuan yang boleh mereka peroleh dari agensi kerajaan.
Laman sesawang Smart Life of Single Mother System (Slsms) dibangunkan hasil kajian dua tahun oleh lima penyelidik yang diketuai Dr Faizah Abdul Ghani dan dibantu empat penuntut.
Faizah berkata menerusi laman sesawang itu, ibu tunggal boleh mendapat panduan secara manual untuk memohon bantuan selain membimbing mereka dalam soal tuntutan kes yang melibatkan mahkamah.
“Ia boleh diakses di http://web2.fp.utm.my/smartlife yang dilengkapi lima elemen utama merangkumi Kenali Diri Anda, Gaya Hidup Sihat, Sudut Informasi, Hubungi Kaunselor dan Badan Rujukan,” katanya pada satu sidang akhbar Rabu.
Beliau yang bertindak sebagai kaunselor laman itu berkata laman itu turut tertera pangkalan data mengenai ibu tunggal yang memerlukan bantuan terus. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment