TAWAU – Semua masyarakat di daerah ini perlu bekerjasama dengan polis dalam mencegah jenayah terutamanya ketika musim perayaan, kata Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah.
“Kerjasama masyarakat dengan polis ini adalah sangat penting dan ia perlu diteruskan kerana mencegah kegiatan jenayah ini bukan hanya menjadi tanggungjawab polis tetapi masyarakat juga harus memainkan peranan. Di Tawau ini masyarakat memberi kerjasama,” katanya kepada pemberita selepas program High Profile Community Policing di kawasan bandar, di sini hari ini.
Katanya, melalui kerjasama baik masyarakat dan polis kadar jenayah di daerah ini akan dapat dikurangkan sekali gus mencapai sasaran yang ditetapkan.
Sementara itu, Awang Besar menasihatkan mereka yang pulang bercuti ke kampung masing-masing sempena perayaan Tahun Baharu Cina ini supaya sentiasa berhati-hati di jalan raya serta mematuhi peraturan had laju, memakai tali pinggang keledar dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment