IPOH – Penilaian awal mendapati lebih 17,000 hektar tanah di Perak diteroka secara haram, mengakibatkan kerajaan negeri menanggung kerugian bernilai ratusan juta ringgit.
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata aktiviti penerokaan haram itu dipercayai dijalankan secara terancang oleh kumpulan tertentu.
“Ini bukan melibatkan aktiviti kecil-kecilan, ada kawasan di mana aktiviti ini dibuat secara sindiket,” katanya kepada pemberita selepas program “Selamat Pagi Perak Bersama Menteri Besar” di PerakFM di sini, hari ini.
Beliau berkata selain Pejabat Tanah dan Galian (PTG), langkah penguatkuasaan kini melibatkan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM).
“Mungkin sebelum ini ada kelemahan dari segi penguatkuasaan sehingga menyebabkan ianya berleluasa dan tidak ada mekanisme yang baik bagi mengawal perkara ini daripada berlaku,” katanya.
Zambry berkata pelbagai langkah diambil bagi mengatasi masalah itu termasuk mengenalpasti kawasan yang terlibat dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.
Beliau berkata terdapat beberapa kes di mana pihak yang bertanggungjawab dikenalpasti tetapi mereka berjaya melarikan diri. – BERNAMA

0 comments:
Post a Comment